MALAYSIA
NADI platform berkesan beri pendedahan proses demokrasi kepada rakyat - Johari

Johari berkata kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang pada program HBK membuktikan NADI diterima sebagai pusat komuniti terbuka yang menyediakan ruang pembelajaran, kesihatan serta peluang sosioekonomi untuk semua. - Gambar fail/Bernama
KUALA SELANGOR: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang didirikan di seluruh negara boleh bertindak sebagai platform berkesan dalam memberikan pendedahan mengenai proses demokrasi kepada rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata menerusi kerjasama pusat itu dan Parlimen, ia juga boleh menjadi pusat rujukan Program Sekolah Parlimen dan Parlimen Belia yang berperanan melatih generasi muda dalam kepimpinan dan pemahaman demokrasi
"Usaha ini adalah seiring peranan NADI sebagai hab komuniti untuk mendapatkan maklumat yang tepat, sahih dan terkini," katanya seperti dipetik dalam kenyataan dikeluarkan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.
Menurut kenyataan itu, Johari hari ini turut merasmikan penganjuran Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Pekan Ijok, di sini, yang menyaksikan sokongan padu masyarakat berbilang kaum terhadap inisiatif kerajaan dalam memperkasakan komuniti digital pada peringkat akar umbi.Program itu antara lain memberikan peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan maklumat serta menyertai pelbagai aktiviti, antaranya pameran usahawan NADI, demonstrasi pertanian pintar, pendaftaran keahlian, saringan kesihatan percuma serta aktiviti Perkhidmatan Pintar yang disediakan untuk semua peringkat umur.
Johari berkata kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang pada program HBK membuktikan NADI diterima sebagai pusat komuniti terbuka yang menyediakan ruang pembelajaran, kesihatan serta peluang sosioekonomi untuk semua.
Beliau berkata NADI kini bukan sekadar pusat Internet, tetapi telah berkembang menjadi hab komuniti yang inklusif untuk semua golongan baik para pelajar, belia, usahawan, ibu bapa mahupun warga emas untuk memperoleh ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperkasakan kesejahteraan kendiri.
Sehingga kini, sebanyak 1,099 NADI telah beroperasi di seluruh negara, termasuk 84 di Selangor dengan lebih 122,653 ahli berdaftar, membuktikan penerimaan positif masyarakat terhadap peranan NADI dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi.
Impak NADI kepada komuniti setempat turut terserlah apabila inisiatif NADI baru-baru ini berjaya meraih World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva dalam kategori Capacity Building pada Julai 2025 lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami