KUALA LUMPUR: Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir perlu mendapatkan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berbuat demikian.

Menurut Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohd Khairi Khairuddin, ia bagi memastikan setiap bantuan dapat diselaraskan untuk mangsa banjir.

"Minta kebenaran, NGO masuk ke kawasan ini (banjir), dia ada borang yang perlu diisi sebab sebelum masuk ke kawasan tersebut. Polis jaga kawasan akan tengok, jika tiada kelulusan memang tidak akan dibenarkan masuk.

"Kita nak hadkan kemasukan NGO kerana barang-barang yang nak disumbang perlu diselaraskan, katakan dalam satu daerah itu ada lima kawasan terjejas, kita tidak tahu satu daerah itu apa yang diperlukan.

"Adakah perlu baju sahaja? Makanan atau baju? Jika NGO berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), bantuan akan diselaraskan apa yang mangsa perlukan," kata Mohd Khairi dalam temu bual bersama  Astro AWANI pada Isnin.

LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI


Tambah Mohd Khairi, Nadma sentiasa memahami NGO yang ingin membantu mangsa banjir, namun perlu mengikut prosedur yang ditetapkan demi keselamatan sukarelawan

"Kita faham apabila berlaku bencana sesebuah kawasan atau daerah, ramai NGO yang ingin menghulurkan bantuan dari segi pakaian, makan dan tenaga bagi membersihkan kawasan terjejas.

"Tapi sebagai panduan kepada NGO mereka di kawasan bencana, adalah kawasan bahaya dikategorikan bukan semua orang boleh masuk sesuka hati, ia dikawal PDRM sebagai komander operasi bencana, NGO perlu berhubung dengan PKOB kawasan bencana di PKOB daerah," katanya lagi.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan Nadma pula jelasnya, semua peringkat baik di peringkat Pusat, negeri dan daerah telah bersiap sedia untuk menjalankan tanggungjawab mereka sekiranya berlaku banjir.

"Bagi memastikan agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah bergerak, apa juga penugasan yang berjalan mesti berlandaskan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 20 (MKN 20).

"Contohnya kita ada peringkat satu, iaitu peringkat daerah yang mana hanya daerah itu mampu menguruskan kejadian tersebut, akan dipengerusikan Pegawai Daerah.

"Tetapi jika ia melebihi dua hingga tiga daerah, dia akan masuk ke peringkat kedua iaitu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya.

Sekiranya melebihi satu negeri yang terkesan jelas Mohd Khairi, ia akan melibatkan jawatankuasa peringkat nasional yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

"Dari sudut koordinasi memang kita dah buat mesyuarat di peringkat negeri pada September lepas, arahan akan dikeluarkan kepada semua peringkat lebih bersedia sekiranya berlaku bencana banjir," ujarnya lagi.

Sehingga kini, lima negeri terjejas akibat banjir yang berlaku iaitu Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Ia melibatkan lebih 2,400 mangsa yang ditempatkan di 29 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).