Ringkasan AI
- NADMA menekankan keperluan memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi gempa bumi susulan peningkatan kekerapan kejadian termasuk di Johor.
- Persediaan menghadapi gempa bumi masih belum jelas berbanding bencana lain, dengan keperluan memperkasa prosedur operasi dan pengetahuan teknikal.
- Malaysia disaran membangunkan sistem amaran awal pelbagai bencana yang lebih menyeluruh dan disertakan panduan tindakan kepada penduduk terjejas.
JOHOR BAHRU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mahu memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gempa bumi susulan kebimbangan terhadap bencana itu yang semakin kerap berlaku termasuk di Johor.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana NADMA Saiful Yazan Alwi berkata ketika ini persediaan bagi menghadapi bencana itu masih belum jelas seperti pengurusan bencana lain, sebagai contoh banjir yang mempunyai prosedur dan tatacara operasi lebih lengkap.
Beliau berkata NADMA juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi meneroka pengetahuan serta meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi risiko gempa bumi.
“Kita semakin risau. Dahulu ia (gempa bumi) jarang berlaku, namun sekarang ini saya rasa ia semakin kerap dan kita tidak ada persediaan yang jelas.
“Maksudnya apabila berlaku sesuatu bencana, kita sudah ada operasi yang standard, tetapi bagi gempa bumi, kita perlu cuba bangunkan lagi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Iklim Kebangsaan 2026 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia hari ini.
Saiful Yazan berkata perkembangan berkaitan pergerakan sesar bumi juga perlu diberikan perhatian khusus terutama jika kejadian gempa bumi terus menunjukkan peningkatan dari segi kekerapan.
Beliau berkata berbeza dengan negara yang berada dalam Lingkaran Api Pasifik seperti Indonesia, Filipina dan Jepun, Malaysia sebelum ini tidak berhadapan dengan kejadian gempa bumi pada skala dan kekerapan yang sama.
Sehubungan dengan itu, tahap kesiapsiagaan termasuk aspek prosedur operasi, pengetahuan teknikal serta tindakan agensi berkaitan perlu terus diperkasakan agar negara lebih bersedia jika kejadian itu berlaku.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia perlu bergerak ke arah sistem amaran awal pelbagai bencana atau multi-hazard early warning system yang mampu memberikan amaran bagi pelbagai jenis bencana melalui satu sistem bersepadu.
Pendekatan itu, menurut beliau lebih menyeluruh berbanding sistem amaran berasingan yang digunakan bagi bencana tertentu seperti banjir dan tsunami.
Beliau berkata sistem amaran pada masa depan juga tidak seharusnya hanya memaklumkan ancaman bencana, sebaliknya perlu disertakan dengan panduan tindakan yang perlu diambil oleh penduduk di kawasan terjejas.
Forum itu menghimpunkan lebih 500 peserta dan menjadi platform strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi cuaca ekstrem, perubahan iklim serta risiko bencana melalui perkongsian ilmu, penyelidikan, kepakaran dan kerjasama rentas sektor.
-- BERNAMA