KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menetapkan lima fokus utama menuju 2030 untuk kekal relevan kepada rantaian Pertubuhan Peladang dengan tumpuan diberikan dalam aspek pembangunan industri padi dan beras.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob berkata empat lagi fokus adalah pemasaran input baja dan kimia; menjadi pemain utama industri ayam; mencari sumber kekayaan baharu serta kemakmuran keluarga Peladang.

"Dalam meniti usia 50 tahun, NAFAS perlu lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan serta dinamik dan produktif mengurus isu serta membentuk masyarakat tani yang berdikari dan makmur," katanya pada Majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun NAFAS di sini, semalam.

Memperincikan setiap fokus itu, Zamri berkata bagi pembangunan industri padi dan beras, pihaknya kini ke arah pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialan benih padi hibrid NAFAS yang dilaksanakan bersama agensi kerajaan berkaitan serta syarikat rakan kongsi dengan musim penanaman pertama dijangka tahun depan.

"Objektif program ini ialah menjadi alternatif kepada pesawah dengan tawaran benih padi hibrid berbanding benih padi inbrid sedia ada di pasaran, kajian dilaksanakan membuktikan peningkatan hasil tuaian sehingga 50 peratus setiap hektar," katanya.

Selain itu, Zamri berkata pihaknya kini menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan; pengilangan dan pemasaran input baja dan racun sebagai pendapatan baharu NAFAS.

Bagi menjadi pemain utama industri ayam, Zamri berkata NAFAS kini terarah kepada melengkapkan rantaian nilai ayam bermula daripada makanan, ternakan hingga pemprosesan.

Beliau menjelaskan pertubuhan itu juga memberi penekanan kepada pembangunan sektor pertanian baharu seperti nanas MD2 serta durian Musang King sebagai sumber kekayaan baharu selain memberi tumpuan kepada perkongsian kemakmuran NAFAS kepada semua peringkat Pertubuhan Peladang.

Zamri berkata dalam usia NAFAS menjangkau 50 tahun, pertubuhan yang dianggotai 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir sejuta ahli seluruh negara itu turut mengalami evolusi seiring perubahan masa.

"Walaupun dalam perniagaan ada untung rugi kita haruslah mempunyai perancangan atau pelan yang membantu mengesan pergerakan dalam perniagaan dan kita tidak boleh leka dengan nikmat diberi, jangan terlalu berada dalam comfort zone (zon selesa)," katanya.

Zamri berkata hasil kecekapan ahli jemaah pengarah dan pengurusan, pertubuhan itu berjaya mengembangkan sektor perniagaannya melalui enam syarikat subsidiari 100 peratus milik NAFAS, tiga subsidiari dengan pelaburan melebihi 50 peratus serta 11 anak syarikat bagi subsidiari dan syarikat bersekutu.

Beliau berkata sepanjang 2010 hingga 2019, NAFAS telah mengagihkan dividen RM83.75 juta kepada pemegang saham dengan purata agihan dividen setiap tahun sebanyak 30 peratus daripada jumlah saham selain menjalankan tanggungjawab pembayaran zakat perniagaan.

Selain itu, NAFAS dan kumpulan telah membuat pembayaran zakat berjumlah RM15.14 juta kepada Majlis Agama Islam di setiap negeri tahun lepas serta menjalankan tanggungjawab sosial dengan memberikan bantuan kepada Pertubuhan Peladang Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan dan ahli peladang seluruh negara.

NAFAS ditubuhkan pada 31 Mac 1972 adalah ilham Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan pada awal penubuhan ia dikenali sebagai Persatuan Peladang Kebangsaan.

Ia didaftarkan di bawah Akta Persatuan Peladang 1967 serta bertanggungjawab sebagai badan induk kepada persatuan-persatuan peladang di seluruh negara.

Seiring peredaran masa dan bagi membolehkan peladang mencapai kemajuan, persatuan peladang dan syarikat kerjasama asas tani seluruh negara dicantum menjadi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Berikutan perubahan yang berlaku di peringkat kawasan dan negeri, Persatuan Peladang Kebangsaan telah didaftarkan semula sebagai NAFAS pada 1984.

-- BERNAMA