KUALA LUMPUR: Keluarga kepada mangsa nahas tragis di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Muhammad Nazatul Nazmi, mengumumkan keputusan untuk tidak meneruskan operasi kafe milik arwah dan akan membuka premis itu buat kali terakhir pada Jumaat.
Menerusi satu hantaran di Threads, adik kepada Allahyarham melalui akaunnya @iqiekazama berkata, keputusan berkenaan dibuat dengan berat hati memandangkan mereka tidak mempunyai kepakaran untuk meneruskan legasi arwah, khususnya dalam menghasilkan kek yang menjadi identiti utama kafe tersebut.
Menurutnya, setiap resipi dan hasil tangan isteri kepada Allahyarham, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, yang turut terkorban dalam kemalangan itu, mempunyai keunikan tersendiri yang sukar digantikan.
“Sayang seribu kali sayang, tetapi kami terpaksa membuat keputusan ini kerana insan yang menjadi roh dan nadi kepada kafe tersebut sudah tiada.
“Kami juga tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan semula kek-kek arwah kerana setiap satunya unik dan berbeza setiap minggu,” katanya, merujuk kepada perniagaan kafe pasangan itu, Secangkir Cafe, di Sungai Karang, Kuantan.
Keluarga Allahyarham Muhammad Nazatul memaklumkan premis berkenaan akan beroperasi buat kali terakhir pada 4 September dari jam 3 petang hingga 9 malam dengan memberi tumpuan kepada jualan kopi dan kek sahaja.
Bagaimanapun, stok jualan adalah terhad dengan setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli satu potong kek, manakala bekalan kopi dihadkan kepada 300 cawan.
Dalam pada itu, keluarga turut memaklumkan bahawa mereka akan melelong pelbagai stok dan peralatan kafe yang masih berbaki.
Menurut mereka, hasil jualan yang diperoleh akan digunakan untuk menyelesaikan sebarang hutang atau komitmen yang masih tertunggak atas nama arwah.
Terdahulu, empat individu termasuk tiga sekeluarga maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh pada malam Isnin lalu.
Selain pasangan suami isteri yang masing berusia 32 tahun itu, anak mereka, Armaan Nazeef yang berusia empat tahun turut terkorban. Seorang lagi yang turut kehilangan nyawa ialah penumpang sebuah kenderaan lain.
Kemalangan kira-kira jam 10 malam itu membabitkan empat kereta, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah pikap, sebuah lori tangki dan sebuah bas.