Skip to main content

Malaysia

Nahas 11 kenderaan Temerloh: Polis kenal pasti identiti empat yang maut

Sumber: Bomba Pahang
Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada lori tangki simen yang hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan. - Gambar fail/Bomba Pahang
Advertisement

KUANTAN: Polis mengenal pasti identiti empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (arah Timur) di Lanchang, Temerloh, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata mereka terdiri daripada pasangan suami isteri Muhammad Nazatul Nazmi dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan masing-masing berusia 32 tahun serta anak lelaki mereka berusia empat tahun yang menaiki kereta Proton S70.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang Honda CRV Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. 

“Anak kepada Seow, Sebastian Seow Jhen, 18, yang memandu Honda CRV dan pemandu lori tangki muatan simen yang berusia 52 tahun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh,” katanya. 

Azry Akmar berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Ketua Polis Daerah Jerantut di Kompleks Alor Akar di sini hari ini.

Azry Akmar berkata pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain iaitu bas ekspres, Toyota Hilux, MPV Toyota Alphard dan lima kereta dilaporkan cedera ringan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Beliau berkata bedah siasat mangsa yang maut dijadualkan pada pagi ini di HoSHAS.

Sementara itu, Azry Akmar berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 10.55 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada lori tangki simen yang hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan,” katanya. 

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement