MALAYSIA

Nahas 4 maut: Pemandu terlelap, tiada lesen memandu

Sinar Harian 23/08/2025 | 06:40 MYT
Laporan Sinar Harian berhubung kemalangan sebuah kereta yang meragut empat nyawa, manakala dua lagi cedera parah. Foto kecil: Mohd Akmalrizal
KUALA LANGAT: Pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Suleiman Shah di sini dipercayai terlelap sebelum kereta yang dipandunya terbabas.


Ringkasan AI
  • Pemandu remaja lelaki berusia 16 tahun dipercayai terlelap sebelum kereta terbabas dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Suleiman Shah.
  • Remaja tersebut tidak memiliki lesen memandu sah; kemalangan melibatkan enam mangsa, empat maut dan dua cedera parah.
  • Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Pantai Morib ke Batu 9, Telok Panglima Garang ketika kejadian berlaku.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pemandu yang merupakan remaja lelaki berusia 16 tahun itu dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya.

"Siasatan mendapati kemalangan berpunca akibat pemandu yang mengantuk dan terlelap ketika memandu.

"Semakan juga mendapati remaja terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari Pantai Morib ke Batu 9, Kebun Baru, Telok Panglima Garang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kemalangan tersebut melibatkan enam mangsa terdiri daripada remaja lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun.

Tiga daripada mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Dua lagi rakan mereka mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Banting, Kuala Langat. -Sinar Harian







#remaja lelaki berusia 16 tahun #pemandu terlelap #Jalan Sultan Suleiman Shah #Pantai Morib ke Batu 9 Kebun Baru