MALAYSIA

Nahas 5 kenderaan di Manjung: Wanita maut ketika cuba bantu mangsa kemalangan

Sinar Harian 22/10/2025 | 09:57 MYT
Seorang wanita maut, manakala suami dan dua anak mereka mengalami kecederaan selepas motosikal ditunggangi dilanggar sebuah lori ketika berhenti membantu mangsa kemalangan dekat Jalan Kampung Kayan, Sitiawan pada Rabu. -Foto Bomba Perak
MANJUNG: Tindakan mulia empat sekeluarga yang berhenti membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila mereka dilanggar dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Kampung Kayan, dekat Sitiawan, di sini, pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Seorang wanita maut manakala suami dan dua anak mereka cedera selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar lori ketika berhenti membantu mangsa kemalangan di Jalan Kampung Kayan, Sitiawan.
  • Kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk dua motosikal, sebuah lori, pacuan empat roda dan sebuah kereta, menyebabkan dua lagi mangsa cedera dan tujuh terselamat.
  • Operasi menyelamat oleh Bomba Sitiawan tamat jam 11.10 pagi, dengan mangsa cedera diserahkan kepada KKM dan mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku jam 8.19 pagi itu, seorang wanita disahkan meninggal dunia manakala suami serta dua anak mereka mengalami kecederaan.

Kemalangan melibatkan sebuah lori, dua motosikal, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta itu turut menyebabkan dua mangsa lain cedera manakala tujuh lagi dilaporkan selamat.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, berdasarkan maklumat awal, keluarga terbabit yang menaiki motosikal jenis SYM berhenti di lokasi kejadian untuk membantu dua mangsa menaiki kereta jenis Honda yang terbabas ke bahu jalan.

“Motosikal itu bagaimanapun telah dilanggar sebuah lori yang dipandu seorang lelaki.

“Pelanggaran tersebut turut membabitkan sebuah Toyota Hilux yang dinaiki lima lelaki warga Pakistan dan sebuah motosikal jenis EX5 yang ditunggangi seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian awal (size-up) dan mengaplikasikan konsep SAVER, dengan mengarahkan anggota menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi penyelamatan yang melibatkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan tamat sepenuhnya pada jam 11.10 pagi. -Sinar Harian





#wanita maut #motosikal dilanggar lori #Jalan Kampung Kayan Sitiawan #bantu mangsa kemalangan