MANJUNG: "Alhamdulillah, emosi anak-anak stabil, perlahan-lahan mereka terima hakikat kehilangan ayah mereka," luah balu Allahyarham Shaharul Amir Omar, 49, mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, minggu lalu.

Suhaila Akasah, 47, berkata, empat anaknya termasuk sulung yang menghidap autisme berada dalam keadaan baik dan dilihat dapat menerima pemergian insan tersayang dalam suasana tenang.

"Anak sulung saya bila bawa ke liang lahad ketika kebumi arwah dulu, dia juga mengalirkan air mata tanda faham ayahnya sudah pergi.

"Kehilangan ini mula-mula mungkin sukar, tetapi lama-kelamaan mereka boleh kawal emosi sendiri kerana masing-masing sudah besar dan matang," katanya ketika ditemui sempena penyerahan bantuan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Desa Manjung Raya dekat sini pada Isnin.

Suhaila bersama empat anaknya, Izzat Danish, 19, Imanina Zulaikha, 17, Ismahani Dhaniyah, 15, dan Iyliaa Najwa, 12, selaku waris layak menerima bantuan faedah Perkeso menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 untuk sekali bayar manakala bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada balu setiap bulan untuk seumur hidup dan anak-anak sehingga usia 21 tahun.

Penyampaian bantuan tersebut diserahkan Timbalan Pengarah Perkeso Perak, Roslan Pilus dan turut dihadiri Pengurus Perkeso Daerah Manjung, Mohd Shaperi Md Salleh.

Suhaila berkata, bantuan kerajaan menerusi Perkeso itu membuka harapan baharu kepada mereka sekeluarga untuk terus kuat menjalani kehidupan tanpa ketua keluarga.

Dia akui, pernah timbul perasaan sayu dan buntu memikirkan perjalanan masa depan kerana kehilangan sumber pendapatan menanggung keluarga.

"Sejak melahirkan anak pertama, saya sudah tidak bekerja dan menjadi suri rumah uruskan anak-anak. Jadi apabila berada dalam situasi sedih begini, kehilangan orang tersayang dan tiada punca pendapatan, ada ketikanya beri tekanan kepada saya.

"Alhamdulillah, Allah hadirkan bantuan dalam waktu cepat yang tidak dijangka. Bantuan Perkeso ini betul-betul meringankan beban saya dalam keadaan anak-anak yang mungkin mahu sambung belajar," katanya

Dalam pada itu, Roslan berkata, pemprosesan faedah berkenaan dilakukan dengan kadar segera sejurus Skuad Perkeso Prihatin mendapat maklumat mangsa yang terlibat dalam kemalangan pesawat berkenaan.

Katanya, oleh kerana tragedi berkenaan berlaku dalam waktu kerja, maka amaun dibayar adalah 90 peratus daripada gaji Allahyarham.

"Pencen mula dibayar pada 1 September depan dan sekiranya ada kalangan anak arwah disahkan kurang upaya (OKU) dengan bukti perubatan, maka Perkeso akan tanggung sepanjang hayat anak tersebut.

"Anak yang lain, walaupun sudah mencapai usia 21 tahun dan berhasrat untuk menyambung pengajian ijazah pertama, maka pencen akan disambung sehingga habis tempoh pengajian," katanya.

Jenazah Shaharul Amir yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selamat dikebumikan mengikut istiadat pengebumian TLDM di Tanah Persemadian Islam Fasa 3C Seri Manjung pada Ahad.

Nahas pesawat persendirian jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang berlaku pada Khamis lalu telah mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini memaklumkan, tujuh daripada 10 keluarga mangsa nahas pesawat terhempas layak menerima pampasan Perkeso iaitu bayaran FPM sehingga RM2,000 dan bayaran faedah pencen berkala.

Menterinya, V Sivakumar, berkata, hasil semakan mendapati enam keluarga mangsa mempunyai kelayakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), manakala satu lagi keluarga mempunyai dua kelayakan iaitu menerusi Akta 4 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789). - Sinar Harian