Pada 17 Ogos lepas, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Datuk Seri Johari Harun yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang. Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan. Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pandangan pakar penerbangan bahawa negara mungkin berpeluang tipis mengetahui punca tepat nahas pesawat tersebut, Loke berkata, itu hanyalah pandangan peribadi. "Ini pandangan masing-masing, tetapi, janganlah buat sebarang keputusan. "Kita cubalah yang terbaik untuk pergi makmal dahulu dan mengeluarkan data tersebut. Harap semua pihak tidak membuat sebarang rumusan sebelum pihak kita sampai ke makmal di sana. “Kalau tanya sesiapa pun termasuk penganalisis, memang bermacam pandangan akan diberi. Tetapi, kerajaan juga ada tugas dan tanggungjawab iaitu mencari punca nahas. Apa sahaja yang kita boleh buat, kita akan buat. Sebab itu kita usaha ke sana secepat mungkin,” ujarnya. Dalam perkembangan berasingan Loke memberitahu, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menawarkan 10 tapak tanah kereta api yang berpotensi tinggi dengan keluasan 369,452 ekar yang mampu membawa pulangan kepada negara. Tapak tanah itu katanya terletak di Pulau Pinang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perlis dan Kelantan dengan lima daripadanya berada dalam jajaran kereta api sedia ada yang sesuai dimajukan dengan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).