NATIONAL

Nahas FRU: Pemilik syarikat lori dipanggil beri keterangan

Bernama 16/05/2025 | 07:30 MYT
Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin bercakap pada media di Mahkamah Teluk Intan hari ini. - Foto Bernama
TELUK INTAN: Pemilik syarikat lori telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini, Selasa lepas.


Ringkasan AI
  • Siasatan Kes Kemalangan Maut: Pemilik syarikat lori telah dipanggil memberi keterangan bersama 15 saksi lain bagi membantu siasatan kemalangan yang melibatkan anggota FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam.
  • Fokus Siasatan: Polis meneliti aspek kecuaian manusia, persekitaran, serta penyelenggaraan kenderaan sebagai faktor penting dalam kes ini.
  • Permohonan Bantuan Awam: Polis menyeru orang awam yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka tampil membantu siasatan, dengan jaminan bahawa maklumat mereka akan dirahsiakan.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata individu itu antara 15 saksi dipanggil merekodkan keterangan setakat ini.

"Selain aspek kecuaian manusia dan persekitaran, kita (polis) juga menumpukan aspek teknikal, jadi elemen-elemen seperti penyelenggaraan kenderaan juga diambil kira dalam siasatan ini," katanya yang ditemui selepas prosiding pendakwaan pemandu lori terbabit dalam kemalangan itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengharapkan lebih ramai saksi awam tampil membantu siasatan termasuk mengemukakan rakaman kamera papan pemuka kenderaan.

"Setakat ini tiada sesiapa tampil memberi rakaman. Jika ada, ia akan menjadi bukti matan (kukuh) dalam kes ini.

"Dengan bantuan media, beberapa saksi awam telah tampil memberi keterangan selain beberapa pihak berkepentingan akan banyak membantu dalam siasatan ini. Saya seru lebih ramai hubungi polis, maklumat anda akan dirahsiakan," katanya.

-- BERNAMA




#nahas FRU #pemilik lori #diambil keterangan #Polis Daerah Hilir Perak #terkini