NATIONAL

Nahas FRU: Puspakom sedia beri kerjasama penuh

Bernama 14/05/2025 | 10:49 MYT
Puspakom menyatakan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota FRU di Teluk Intan. -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sedia memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dalam siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak semalam.

Ringkasan AI
  • Puspakom menyatakan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota FRU di Teluk Intan.
  • Puspakom menegaskan tidak akan mengulas atau memberi maklum balas terhadap spekulasi awam demi menghormati proses siasatan dan keluarga mangsa.
  • Orang ramai diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kerana ia boleh mengganggu siasatan dan menambah penderitaan keluarga mangsa.

Puspakom dalam kenyataan hari ini memaklumkan tidak akan mengulas mengenai siasatan atau bertindak balas terhadap komen dibuat di ruang awam sebagai menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan mangsa kejadian tersebut.
"Kami dengan rendah diri merayu orang ramai terutamanya yang aktif di media sosial untuk tidak menyebarkan maklumat tidak disahkan atau membuat spekulasi.
"Kita mesti memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas secara profesional.
"Maklumat yang salah bukan hanya mengganggu siasatan sahaja, tetapi ia juga boleh menambah penderitaan yang tidak sepatutnya kepada anggota keluarga terlibat.
"Kami menghargai kesabaran serta timbang rasa anda, dan kami berharap semua pihak dapat sabar menantikan penyaluran maklumat tepat yang telah dikemas kini, dikeluarkan oleh saluran yang sepatutnya," menurut kenyataan itu.
Puspakom turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa serta semua pihak yang terkesan dengan kemalangan itu.
Dalam kejadian 8.50 pagi semalam, sembilan anggota FRU maut selepas trak pasukan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak.
Kejadian berlaku semasa kenderaan dinaiki 18 anggota dari Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.
-- BERNAMA
#Puspakom #siasatan kemalangan #sembilan anggota FRU #Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer