NATIONAL

Nahas FRU: Undang-undang sedia ada mencukupi untuk siasat pemilik syarikat lori - Ahmad Zahid

Astro Awani 15/05/2025 | 10:25 MYT
Dalam kejadian Selasa lalu, sembilan anggota FRU dari Unit Sungai Senam, Ipoh maut selepas trak yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Teluk Intan, Perak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, pada Selasa lalu.

Ringkasan AI
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa undang-undang sedia ada mencukupi untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap nahas yang mengorbankan sembilan anggota FRU di Teluk Intan. Beliau menyatakan pemilik lori dan syarikat boleh disiasat tanpa perlu mewujudkan akta baharu.
  • Siasatan terhadap pemilik lori akan dilakukan melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di bawah Kementerian Pengangkutan. Pelbagai pihak termasuk netizen dan NGO berpendapat tanggungjawab harus diletakkan ke atas pemilik syarikat dan kenderaan terbabit.
  • Dalam kejadian 8.50 pagi Selasa lalu, trak yang dinaiki anggota FRU bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil, mengorbankan lapan anggota di lokasi dan seorang lagi ketika menerima rawatan di hospital. Kerajaan komited memastikan siasatan dijalankan dengan teliti.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, siasatan termasuk ke atas pemilik lori muatan batu kerikil yang terbabit dalam nahas berkenaan boleh dijalankan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa keperluan mewujudkan akta baharu.
"Undang-undang sedia ada mencukupi untuk menyiasat tuan punya kenderaan dan syarikat berkenaan, cuma perlu dikuatkuasakan.
"Saya dapati ramai netizen termasuk pemimpin dan NGO berpendapat bahawa siasatan serta tanggungjawab mesti diletakkan kepada pemilik syarikat serta kenderaan berkenaan," katanya selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan melakukan pindaan ke atas undang-undang berkaitan bagi membolehkan pemilik kenderaan yang menjadi punca kemalangan dikenakan tindakan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya turut menjelaskan, siasatan terhadap syarikat pemilik lori akan dilakukan melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi Selasa lalu, sembilan anggota FRU dari Unit Sungai Senam, Ipoh maut selepas trak yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Teluk Intan, Perak.
Lapan daripada mereka disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
#Ahmad Zahid Hamidi #nahas FRU #Teluk Intan #Puspakom #terkini