Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter: Jasad lima mangsa diserah kepada keluarga - Dzulkefly

mangsa nahas FDS
Jasad lima mangsa nahas helikopter FDS diserah kepada keluarga hari ini. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Urusan penyerahan jasad lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak kepada keluarga dilakukan pagi ini di Jabatan Forensik Hospital Miri selepas identiti mereka disahkan menerusi analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyelaraskan pergerakan mangsa ke tempat persemadian susulan pengesahan rasmi identiti yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau memaklumkan jenazah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.

“Jasad jururawat Debra Moset akan diterbangkan dari Miri ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada esok manakala Jessie Paya Jok dibawa ke rumahnya hari ini dengan urusan pengebumian dilakukan di BEM Cemetery Lambir, Miri pada Isnin.

“Jasad penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry akan dibawa dari Hospital Miri ke rumahnya pada hari ini dan urusan pengebumian akan dibuat pada Selasa di Anglican Cemetery Lambir, Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkefly memaklumkan jenazah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan penerbangan Malaysia Airlines untuk dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hingga pengurusan jasad termasuk PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta pengurusan Hospital Miri. 

“KKM juga berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan kemudahan logistik TUDM bagi melancarkan urusan penghantaran pulang jenazah ke Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM terus memperkukuh kerjasama strategik dengan JBPM bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) susulan penangguhan sementara perkhidmatan FDS untuk tujuan siasatan, semakan dan penilaian menyeluruh.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas keprihatinan, doa dan sokongan kepada petugas kesihatan serta keluarga mangsa dalam menghadapi tragedi itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement