BIDOR: Juruterbang yang dilaporkan hilang bersama dengan sebuah helikopter di kawasan hutan, di sini, pada Ahad disahkan meninggal dunia.

Mayat Tsz Kin Richard Chan, 58, yang juga warganegara Hong Kong dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dari kawasan Hutan Simpan Chikus sekitar pukul 10.12 pagi 

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian yang ditemukan berada dalam kokpit helikopter terbabit.

Terdahulu, kata beliau, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memaklumkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung penemuan bangkai helikopter yang terhempas di hutan berkenaan.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa keluar menaiki helikopter dan dihantar ke sebuah sekolah di Ipoh dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Pada masa sama, keadaan cuaca yang baik sepanjang operasi ini  memudahkan pasukan melakukan SAR,” katanya dalam satu sidang media, di Balai Polis Bidor, dekat sini, pada Isnin.

Tambah beliau, kawasan kejadian kini telah dikawal ketat oleh pihak berkuasa bagi memberi ruang kepada CAAM untuk melakukan siasatan lanjut terhadap bangkai helikopter yang terhempas.

Sementara itu, Mohd Yusri memberitahu, keluarga mangsa dan syarikat penerbangan mangsa bekerja telah dimaklumkan berhubung insiden itu.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat yang akan dijalankan ke atas mangsa.

“Siasatan awal di lokasi mendapati, tiada kesan letupan mahupun kebakaran sama ada pada bangkai helikopter atau pun lokasi insiden,” jelas beliau.

Pada Ahad, Astro AWANI melaporkan sebuah helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada pukul 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Helikopter helikopter Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH yang dikendalikan Heli Outpost Sdn Bhd itu dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sekitar pukul 12.16 tengah hari.

Nahas Helikopter | Juruterbang warganegara Hong Kong disahkan maut - Ketua Polis Perak

Sementara itu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pasukan penyelamat sedang berusaha membawa keluar juruterbang ke Hospital Ipoh, memetik laporan Bernama.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan semua yang terlibat di dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam catatan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

 

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang bersama helikopter yang hilang diteruskan dengan membabitkan dua sektor iaitu di kawasan Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan dekat sini, pada Isnin.

BACA: Helikopter hilang: SAR melibatkan dua sektor

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, SAR dijalankan di kawasan dalam 5 kilometer (km) radius dari lokasi terakhir helikopter mangsa dikesan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).

Helikopter yang dikendalikan seorang juruterbang dipercayai bukan warga tempatan itu berlepas dari Subang pada jam 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada jam 12.37 tengah hari.