Nahas helikopter Lumut: Negara berduka cita, PM Anwar utus salam takziah
Nursyazwani Saiful Sham
April 23, 2024 12:40 MYT
April 23, 2024 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertembung pagi tadi sebagai tragedi yang menyayat hati serta meruntun jiwa.
Kata Perdana Menteri, tragedi berkenaan juga memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.
"Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.
"Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.
"Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas," kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial beliau, pada Selasa.
Dalam kenyataan itu juga, Anwar turut mendoakan agar roh semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka.
"Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di sisiNya," ujar beliau lagi.
Media hari ini melaporkan seramai 10 orang maut dalam nahas dua buah helikopter milik TLDM terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, pagi ini.
Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di itu dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Berdasarkan laporan, dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec telah berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi, pada Selasa.
Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum masing-masing terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM dan berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Susulan itu, ATM dan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter berkenaan terhempas.
Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, lembaga tersebut dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden itu.
“Kita akan tubuh Lembaga Penyiasatan dan penubuhan (Lembaga Penyiasatan) ini adalah perkara normal dalam sebarang insiden,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Kelab Menembak and Combat Adventure Fields, di sini pada Selasa.