KUALA LUMPUR: Punca kemalangan helikopter BO-105 yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak yang mengorbankan lima individu pada 8 September lalu masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, laporan awal nahas yang diterbitkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan pada Jumaat menyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyimpulkan bahawa keadaan cuaca di kawasan berkenaan secara umumnya baik, dengan jarak penglihatan melebihi 10 kilometer.
Laporan awal itu juga memaklumkan tiada ribut petir atau hujan ketara dikesan berhampiran lokasi kejadian dalam tempoh awal penerbangan yang dianalisis.
"Imej radar dan satelit menunjukkan tiada aktiviti ribut petir atau hujan yang ketara dalam lingkungan 20 batu nautika (NM) dari STOLport itu bagi tempoh 0000 UTC hingga 0700 UTC (antara 8 pagi hingga 3 petang waktu tempatan).
"Aktiviti awan perolakan sederhana dikesan di kawasan berkenaan mulai kira-kira 0800 UTC (4 petang waktu tempatan). Tiada pemerhatian angin permukaan tersedia bagi STOLport Long Lellang,” menurut laporan itu.
Laporan itu turut memaklumkan juruterbang didapati mempunyai lesen, kelayakan dan sijil perubatan yang sah.
Selain itu, helikopter berkenaan mempunyai Sijil Pendaftaran dan Sijil Kelayakan Udara yang sah serta berada dalam keadaan layak terbang ketika dilepaskan untuk operasi.
"Semua frekuensi komunikasi beroperasi seperti biasa. Tiada panggilan kecemasan atau transmisi kecemasan daripada helikopter itu direkodkan sepanjang sektor penerbangan, dari waktu berlepas sehingga kemalangan berlaku.
"Bangkai helikopter dilaporkan terbakar sepenuhnya selepas berhenti di lokasi kejadian," menurut laporan awal itu lagi.
Selain itu, laporan awal menyatakan semua individu yang berada di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan melecur teruk.
Bagaimanapun, maklumat lanjut berhubung penemuan bedah siasat akan dimasukkan dalam laporan akhir.
Dalam kejadian tersebut, helikopter kendalian Layang-Layang Aerospace Sdn. Bhd. itu sedang melaksanakan penerbangan berjadual Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dari Selungo ke STOLport Long Lellang.
Mangsa yang maut ialah pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, juruterbang Kapten Zainol, penolong pegawai perubatan, Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.