Skip to main content

Malaysia

Nahas Long Lellang: Waris layak terima minimum RM130,000

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, kebajikan keluarga empat kakitangan KKM yang terkorban dalam tragedi berkenaan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. - Gambar fail/BERNAMA
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, kebajikan keluarga empat kakitangan KKM yang terkorban dalam tragedi berkenaan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Waris empat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak pada 8 September lalu layak menerima bayaran pampasan secara sekali gus berjumlah sekurang-kurangnya RM130,000 bagi setiap mangsa.

KKM memaklumkan, jumlah itu merangkumi Gantian Cuti Rehat (GCR), Ganjaran Terbitan, Bantuan Mengurus Jenazah dan Ex-Gratia Kematian, selain tanggungan yang layak turut menerima Pencen Terbitan secara bulanan bermula 21 Oktober ini.

Menurut kementerian itu, urusan pembayaran berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bagi memastikan kebajikan keluarga mangsa terus terbela.

"Sehingga kini, KKM dengan kerjasama JPA dan JKNS telah menguruskan pemberian faedah pencen terbitan dan bantuan kewangan yang layak diterima oleh waris merangkumi pelbagai bayaran sekaligus (pukal) dan bulanan," menurut kenyataan itu hari ini.

KKM menjelaskan, Pencen Terbitan akan dibahagikan mengikut kadar syer kepada waris yang layak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Pembahagian berkenaan bertujuan memastikan setiap tanggungan menerima bahagian masing-masing, dengan JPA akan memberikan penerangan lanjut berhubung kaedah pengagihan tersebut.

Selain itu, waris turut layak menerima pencen tanggungan dan manfaat di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja yang kini sedang diproses Bahagian Pencen Cawangan Sarawak serta Kementerian Kewangan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, KKM turut mencadangkan kenaikan pangkat secara anumerta kepada keempat-empat kakitangan terbabit sebagai penghormatan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.

Menurut kementerian itu, cadangan kenaikan pangkat secara anumerta berkenaan telah diperakukan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dalam mesyuarat pada 13 Oktober lalu.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, kebajikan keluarga empat kakitangan KKM yang terkorban dalam tragedi berkenaan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.

Menerusi hantaran di platform X, beliau turut menekankan komitmen KKM bersama JPA dan JKNS dalam menyelaraskan pembayaran faedah pencen serta bantuan kewangan kepada waris secara menyeluruh dan berhemah.

"Semoga proses ini dapat membantu meringankan beban harian keluarga yang ditinggalkan. Salam takziah kepada semua keluarga mangsa. Doa kami sentiasa bersama kalian," katanya menerusi hantaran di platform X.

Dalam pada itu, KKM menegaskan, kebajikan keluarga mangsa kekal menjadi keutamaan dengan segala urusan faedah dan bantuan diselaraskan secara menyeluruh, telus serta berhemah.

Kementerian itu turut mengakui bahawa tiada nilai kewangan mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, namun berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga terbabit.

Tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang pada 8 September lalu mengorbankan lima individu, termasuk empat kakitangan kesihatan yang sedang menjalankan tugas rasmi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Must Watch Video

Advertisement