Nahas lubang pembinaan: JKKP keluarkan notis larangan projek

Bernama
Disember 27, 2017 06:35 MYT
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan notis larangan ke atas projek pembinaan saliran air ribut di Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching. - Foto AstroAWANI
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan notis larangan ke atas projek pembinaan saliran air ribut di Jalan Tun Abang Haji Openg, di sini semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini JKKP berkata, notis larangan itu dikeluarkan susulan siasatan yang dijalankan selepas insiden kematian seorang penunggang motosikal di lokasi projek mendapati projek pembinaan tersebut gagal memasang penghadang bagi kerja pengorekan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bersama Pihak Berkuasa Tempatan yang lain bagi mengenal pasti punca berlakunya kemalangan.
“JKKP akan mengambil tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
BACA: Motosikal terhumban ke dalam parit, penunggang maut
BACA: Nahas lubang pembinaan, PBT perlu pantau kontraktor - Lam Thye
JKKP turut menggesa agar semua kontraktor projek pembinaan dapat mematuhi dan mempertingkatkan elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) terutamanya aktiviti dan projek pembinaan yang melibatkan orang awam bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
“JKKP berasa amat sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini,” kata kenyataan itu.
Dalam kejadian pagi semalam, Dina Dzulkarnain Asan, 29, maut apabila motosikal yang ditunggangnya terjunam ke dalam lubang projek tersebut.
Mangsa ialah anak kepada Timbalan Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan bekas editor sukan akhbar Kosmo!, Asan Ahmad Ibin.
-- BERNAMA
#Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 #Asan Ahmad Ibin #Dina Dzulkarnain Asan #Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan #Jalan Tun Abang Haji Openg #JKKP #Kuching #pbt #pihak berkuasa tempatan