ALOR SETAR: Ibu kepada Allahyarham Nurul Najihah Amzi bangga kerana anaknya terus menabur bakti hingga akhir hayatnya apabila cuba memberi bantuan kepada insan memerlukan sebelum maut dalam nahas jalan raya kira-kira jam 2.18 petang di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, pada Jumaat.

Ibu mangsa, Mashitah Shafie, 54, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu bersama rakan-rakannya dipercayai dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam, Selangor.

“Salah seorang rakan anak memaklumkan, mereka nampak sebuah kereta terlibat kemalangan dan dalam keadaan berasap, lalu mereka menghubungi pihak berkaitan.

“Selepas itu, anak dan dua rakannya turun dari kereta apabila melihat keadaan mangsa dan memberi bantuan sebelum mereka dirempuh sebuah kenderaan lain,” katanya.

Mashitah ditemui di kediamannya di Kampung Alor Melong, Derga, di sini, sebaik selesai pengebumian jenazah Nurul Najihah, pada Sabtu.

Menurutnya, mereka sekeluarga terutamanya adik bongsunya, Siti Aisyah, 13 sedih dengan kehilangan Nurul Najihah secara tiba-tiba, namun, reda dengan pemergiannya secara mulia pada hari Jumaat.

Sebagai seorang ibu, Mashitah tidak melepaskan peluang mencurahkan bakti terakhir kepada anak tercintanya dengan memandikan jenazah Nurul Najihah dengan dibantu oleh bersama beberapa ahli Muslimat lain.

Sementara itu, bapa Allahyarham Nurul Najihah, Amzi Ishak, 55, berkata, dia tidak menyangka permintaan anak perempuannya untuk dikebumikan di kampung halaman menjadi petanda anak tercinta itu akan pergi untuk selama-lamanya.

Amzi berkata, anak sulungnya ada menyuarakan hasrat itu secara tiba-tiba kepada isterinya ketika mereka berjumpa kira-kira tiga bulan lepas.

“Ada perubahan, dia cakap dengan ummi (ibu) dia kalau dia meninggal dunia, dia mahukan jenazah dikebumikan di sini (kampung halaman). Itu adalah permintaannya.

“Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan (urusan pengebumian jenazah). Saya dapat tahu selepas solat Jumaat, ibu dia nangis (tiba-tiba) mesti ada sebab,” kata Amzi.

Nurul Najihah digambarkan oleh Amzi sebagai seorang yang aktif melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan, malah suka membantu sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Jenazah Nurul Najihah dikebumikan selepas solat Subuh di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga, pagi tadi.

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan, Nurul Najihah, 27, yang juga Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani bersama Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabilah Bukri, 23, meninggal dunia ketika sedang membantu kesusahan mangsa kemalangan di kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Behrang, Perak.

Dalam kejadian itu, Fatihah Nabila dan Taibah maut di tempat kejadian manakala Nurul Najihah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Slim River semasa menerima rawatan.