MALAYSIA
Nahas Myvi, bas ekspres: Jenazah suami, isteri selamat dikebumikan
Keluarga Nur Atikah Najihah menabur daun pandan di pusara arwah selepas bacaan talkin. -Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Jenazah pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Kuala Krai, Jumaat lalu, selamat dikebumikan pada jam 10 pagi, Ahad.
Ringkasan AI
- Jenazah pasangan suami isteri, Nur Atikah Najihah dan Mohamad Faris, yang maut dalam kemalangan di Kuala Krai, selamat dikebumikan pagi Ahad di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga.
- Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian yang dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan, dengan keluarga turut menabur daun pandan di pusara arwah selepas bacaan talkin.
- Ibu kepada Nur Atikah, Nurul Ain Abdul Rahim, yang turut terkorban dalam kemalangan sama, telah dikebumikan sehari lebih awal di Kota Bharu.
Jenazah Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18, dan suaminya, Mohamad Faris Kamaludin, 24, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini, selepas disolatkan di Surau Darul Akhirah selepas Subuh.
Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan pasangan itu yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta mengiringi jenazah dari surau ke tanah perkuburan.
Sebelum ini, pasangan tersebut terlibat dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi wanita bertembung dengan sebuah bas ekspres di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kampung Sungai Sam, Kuala Krai.
Turut berada dalam kenderaan ketika kejadian ialah ibu kepada Nur Atikah Najihah, iaitu Nurul Ain Abdul Rahim, 39.
Jenazah Nurul Ain telah selamat dikebumikan pada Sabtu di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Jambu Merah, Kota Bharu, kira-kira jam 2.30 petang.
Allahyarhamah sebelum itu tiba di pekarangan Masjid Al-Mukminin, Kampung Jambu Merah sekitar jam 1.10 petang dan disolatkan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke tanah perkuburan. -Sinar Harian