NATIONAL
Nahas trak FRU: Jenazah dibawa keluar, istiadat penghormatan menyusul
Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan jam 10.25 malam tadi. - Astro AWANI
TELUK INTAN: Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan jam 10.25 malam tadi.
Ringkasan AI
- Sembilan anggota FRU terkorban dalam nahas jalan raya dibawa keluar dari Hospital Teluk Intan untuk penghormatan terakhir dan dikebumikan di kampung masing-masing.
- Kesemua jenazah diberi penghormatan rasmi PDRM di Markas FRU Sungai Senam, Ipoh, sebelum dikebumikan mengikut agama dan adat masing-masing.
- Nahas berlaku apabila lori batu gagal kawalan dan merempuh trak FRU, menyebabkan sembilan kematian dan beberapa lagi cedera.
Jenazah yang pertama dibawa keluar setelah proses bedah siasat selesai ialah Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, diikuti Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38.
Lima lagi jenazah beragama Islam yang dalam proses bedah siasat akan dibawa keluar dalam beberapa jam lagi bagi solat jenazah di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Kesemua sembilan jenazah selepas itu akan dibawa ke Markas Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh untuk diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jenazah sembilan anggota FRU itu akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu di Masjid Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulim; Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang dan Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh, serta Kampung Sungai Itik dekat Gopeng.
Tiga lagi anggota akan dikebumikan di Kampung Pantai Besar di Batu Kurau, Masjid Simpang, Taiping, dan Kampung Parit Teluk Pial, Kuala Kurau.
Sementara itu, jasad mendiang Perumal akan dibawa ke Krematorium Buntong manakala Nurit Pandak dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar.
Dalam kejadian sekitar jam 8.51 pagi Selasa, sebuah lori muatan batu kerikil dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh trak FRU yang membawa 18 anggota.
Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi iaitu pemandu trak FRU meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di HTI.