[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

Nahas trak FRU: Lori bawa kerikil lebih muatan jadi punca utama - Pasukan Petugas Khas

Kenyataan Media 31/10/2025 | 07:01 MYT
Keadaan lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori yang terbabit kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan, Perak Mei lalu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Lori tipper yang membawa batu kerikil melebihi 70 peratus atau 40,960 kg daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan merupakan punca utama nahas yang meragut sembilan nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan.


Ringkasan AI
  • Lori tipper membawa muatan batu kerikil melebihi 70% daripada had BDM (40,960 kg berbanding 24,000 kg) dikenal pasti sebagai punca utama nahas yang meragut sembilan nyawa anggota FRU di Teluk Intan.
  • Lebihan muatan meningkatkan tenaga kinetik dan menjejaskan kawalan kenderaan, menyebabkan perlanggaran dengan lori FRU; pemandu memiliki lesen sah tetapi mempunyai 14 rekod kesalahan dan tiada latihan keselamatan formal.
  • Laporan mendedahkan kelemahan sistemik dalam pemantauan dan pematuhan keselamatan, termasuk kegagalan syarikat mematuhi ICOP, GPS tidak berfungsi, serta mencadangkan 16 syor keselamatan seperti pemasangan tali pinggang keledar pada kenderaan kerajaan.


Dapatan itu diperoleh hasil Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung insiden berkenaan yang membabitkan lori muatan batu kerikil dan lori FRU di Jalan Chikus–Sungai Lampam itu.

"Rekod rasmi (rujuk Lampiran 3) menunjukkan lori AKL4674 membawa muatan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kg, iaitu 70.67% melebihi had dibenarkan 24,000 kg, menyalahi Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010 dan Kaedah 89 Kaedah-Kenderaan Bermotor.

"Pengurusan tenaga kinetik kenderaan adalah kritikal dalam keselamatan jalan raya. Sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000kg pada kelajuan 30 km/j menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kJ, manakala lori BDM 40,960 kg pada kelajuan sama menghasilkan 1,422 kJ, hampir dua kali ganda.

"Berat dan kelajuan yang lebih tinggi meningkatkan impak kemalangan dan risiko kecederaan serius," menurut laporan terbabit.

Laporan yang dimuat naik menerusi laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MOT) itu mendedahkan lebihan bebanan telah meningkatkan tenaga kinetik, menjejaskan keupayaan membrek dan kestabilan serta menjadi faktor utama kehilangan kawalan.

Menurut kenyataan lagi, keadaan ini menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan dan perlanggaran dengan lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh.

Laporan itu turut menyebut tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng lori tipper yang mana kerosakan yang berlaku konsisten dengan impak akibat muatan berlebihan dan manuver kecemasan ketika pemandu cuba mengelak kenderaan di hadapan.

Mengulas aspek pemandu, pasukan petugas khas juga mendapati pemandu loritippe r memiliki lesen Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Barangan (GDL) yang sah.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan didapati mempunyai 14 rekod kesalahan lalu lintas serta tidak pernah menghadiri latihan keselamatan formal.

Selain itu, syarikat pengendali lori tipper turut gagal mematuhi keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).

Dalam pada itu, tiada pemantauan kelajuan lori tipper kerana Sistem Penentukedudukan Global (GPS) tidak berfungsi.

Kemalangan berkenaan mendedahkan kelemahan sistemik dalam tadbir urus keselamatan kenderaan berat, termasuk aspek pematuhan, pemantauan dan penguatkuasaan.

Ia juga menunjukkan keperluan untuk menyemak semula spesifikasi dan ciri keselamatan kenderaan operasi milik Kerajaan (termasuk FRU, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi kerajaan yang berkaitan) bagi memastikan keselamatan anggota dan pengguna jalan raya awam.

Sehubungan itu, sebanyak 16 syor keselamatan telah dikemukakan merangkumi enam bidang utama, antaranya peningkatan pematuhan ICOP, keselamatan, penambahbaikan Akta 715, serta peningkatan ciri keselamatan kenderaan kerajaan seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.



#Kementerian Pengangkutan #Nahas anggota FRU #Teluk Intan #Lori tipper #melebihi muatan #Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas #terkini