MALAYSIA
Nahas trak FRU: Lori bawa muatan tidak dibenarkan, lebih had - Laporan

Media melaporkan kemalangan yang berlaku di Teluk Intan itu telah meragut nyawa sembilan anggota FRU, manakala sembilan lagi tercedera. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Siasatan awal mendapati lori yang bertembung dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei di Perak tidak mematuhi syarat dengan membawa muatan yang tidak dibenarkan.
Hasil siasatan dalaman Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati syarikat lori tersebut telah melanggar Seksyen 57(1)(b)(i) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa muatan selain yang dibenarkan.
Dapatan tersebut dinyatakan melalui Laporan Awal Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia yang disiarkan pada Khamis.
“Sisa muatan yang dikesan ialah batu kerikil, walaupun jenis badan kenderaan adalah Lori Rigid - Coal (LDC) dan kenderaan ini hanya dibenarkan membawa muatan arang batu,” katanya.Malah laporan tersebut turut menyatakan bahawa lori tersebut telah membawa muatan berlebihan.
“Muatan berlebihan (BDM 40,960 kg), iaitu sebanyak 70.67 peratus daripada had yang dibenarkan (BDM 24,000 kg),” katanya.
Malah lori itu juga didapati gagal audit JPJ Inspection and Safety Audit (JISA).
“Pada 19 Mei 2025, keputusan JISA oleh Jabatan Pegangkutan Jalan (JPJ) Selangor menunjukkan syarikattidak patuh dengan markah keseluruhan hanya 15 peratus (markah minimum lulus ialah 70 peratus), Kesemua tujuh komponen mandatori juga gagal,” katanya.
Manakala rekod Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menyatakan lori tersebut lulus pemeriksaan pada 21 Mac 2025 namun gagal sebanyak dua kali pada 20 September 2024.
“Pada 21 Mac 2025 lulus 63 peratus, pada 20 September 2024 gagal bahagian brek dan keseluruhan pada kadar 36 peratus dan 45 peratus,” katanya.
Hasil siasatan pasca kemalangan mendapati kesemua enam brek drum dan pelapik lori tipper berada dalam keadaan baik, tiada tayar celup atau salji digunakan serta saiz tayar mematuhi kelulusan pelan teknikal.
Namun begitu, fungsi stereng tidak dapat disahkan sepenuhnya memandangkan ianya rosak teruk dipercayai akibat kemalangan
Media melaporkan kemalangan yang berlaku di Teluk Intan itu telah meragut nyawa sembilan anggota FRU, manakala sembilan lagi tercedera.
Pemandu lori tipper milik syarikat Tashveen Trading, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45 mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu dengan cara berbahaya di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 16 Mei.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami