NATIONAL
Nahas trak FRU: Tiga jenazah anggota FRU selamat dikebumikan
Anggota FRU mengusung keranda jenazah rakan mereka yang terkorban akibat kemalangan pada sesi penghormatan terakhir serta istiadat kepahlawanan PDRM di Surau Al-Mustaqim FRU 5, Ipoh, 14 Mei 2025. -- fotoBERNAMA
IPOH: Tiga jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam pagi semalam, selamat dikebumikan awal pagi ini.
Jenazah Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, di sini pada 4.50 pagi.
Pengebumian anggota FRU berusia 33 tahun itu turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin serta kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai.
Jenazah dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Noor Hisam menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar.
Sementara itu, jenazah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Meru, di sini, kira-kira pukul 5.08 pagi.
Van membawa jenazah Mohd Roslan tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4.43 pagi.

Allahyarham yang berasal dari Jengka, Pahang meninggalkan isteri Nur Aini Samiun, 44, serta tiga cahaya mata iaitu Muhammad Raqin Najmi Mohd Roslan, 13, Muhammad Rizqi Nazhan, 9, serta Nur Aqeela Rawida, 6.
Jenazah Koperal Amiruddin Zabri, 38, pula dibawa ke rumahnya di Kampung Sungai Itek di Gopeng sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tubong selepas subuh tadi.
Dalam pada itu, jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dibawa balik ke kediamannya di Lunas, Kedah dan dijangka dikebumikan pada 10 pagi ini.
Jasad Koperal Nurit Ak Pandak, 34, dan Sarjan S. Perumal, 44, masing-masing akan disemadikan di Kampung Batu Berangkai, Kampar pada 11 pagi dan Krematorium Buntong petang ini.

Terdahulu, sembilan jenazah dan jasad anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan pagi Selasa selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi PDRM di FRU Unit 5, Sungai Senam, di sini pada 3.46 pagi.
Sementara itu, tiga lagi jenazah anggota FRU terkorban dalam kemalangan itu selamat dikebumikan di lokasi berasingan di Perak, hari ini.
Jenazah Allahyarham Koperal Muhamad Akmal Muhamad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mubarak, Kampung Telok Pial, Kuala Kurau pada 7.30 pagi tadi.

Terdahulu, van membawa jenazah tiba di rumah bapa mentuanya di kampung itu pada 6.15 pagi sebelum dibawa ke masjid pada 6.45 pagi untuk solat jenazah.
Suasana hiba menyelubungi pengebumian anggota FRU berusia 35 tahun itu, yang dihadiri kira-kira 100 penduduk dan ahli keluarga Allahyarham.
Jenazah Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41, pula selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Pantai Besar Batu Kurau kira-kira pukul 9 pagi manakala jenazah Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Simpang, Taiping pada 10 pagi.
Ketiga-tiga jenazah dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan PDRM.
-- BERNAMA