MALAYSIA
Naib Presiden MIC terlibat dalam kemalangan di Bangi
Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah cedera pada tengkuk, badan dan tangan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran persimpangan Bangi, semalam. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah cedera pada tengkuk, badan dan tangan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran persimpangan Bangi, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam perjalanan pulang selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC Bahagian Bakri di Johor.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya hari ini, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan dinaiki Murugiah cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti secara tiba-tiba akibat kerosakan.
"Usaha mengelak itu menyebabkan kereta yang dinaiki beliau hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum berjaya dikawal semula pemandu peribadi beliau," menurut kenyataan itu.
Selepas kejadian itu, beliau pada mulanya pulang ke rumah namun akibat kesakitan pada bahagian tengkuk, beliau kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat keretakan pada tulang tengkuk dan doktor menasihatinya untuk berehat serta mengurangkan pergerakan di bahagian itu. Keretakan tersebut dijangka pulih secara dalam tempoh tertentu," menurut kenyataan itu.
Murugiah turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat dan ahli MIC yang mengambil berat dan memaklumkan beliau kini berada dalam keadaan stabil.
-- BERNAMA