KUALA PERLIS: Rakyat Malaysia yang ingin merasai pengalaman menaiki 'choley' atau motosikal beroda tiga tidak perlu lagi ke Thailand kerana mereka kini boleh mendapatkan perkhidmatan itu di Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, di sini.

Dengan berbekalkan modal RM4,000, seorang anak muda, Nur Afiq Nasharudin membeli choley yang ditempah khas dari Thailand bagi menjana pendapatan tambahan keluarganya serta berkongsi rezeki dengan pemuda di kampungnya.

"Saya dapat idea ini selepas melihat kesukaran pelancong yang terdiri daripada warga emas dan ibu mengandung terpaksa berjalan kaki jauh bagi menikmati keindahan kampung ini.

"Berdasarkan pengalaman menaiki choley di Thailand, saya mencari jalan bagaimana hendak membawa masuk kenderaan ini secara sah ke sini dan Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan sebuah pada bulan lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.



Nur Afiq yang mesra dengan panggilan 'Mat Apit 'dalam kalangan penduduk kampung berkata, beliau tidak menyangka bahawa produk baharu pelancongan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong dalam dan luar negara apabila memulakan operasi pada cuti Tahun Baharu Cina, 22 Jan lepas.

"Jika dapat bantuan modal daripada pihak berwajib, saya bercadang untuk menambah sebuah lagi choley bagi menampung permintaan yang tinggi khususnya pada cuti umum dan hujung minggu," katanya yang turut dibantu rakan sekampung bagi bergilir-gilir membawa pengunjung pada cuti umum dan hujung minggu.

Menurut Nur Afiq pada hujung minggu beliau mampu mengendalikan antara tujuh hingga sembilan trip dari pagi hingga ke lewat petang dengan bayaran RM35 membawa pelancong mengelilingi Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai.

Ia meliputi tujuh kampung iaitu Kampung Tengah, Kampung Tanjung, Kampung Seberang Alur, Kampung Seberang Jaya, Kampung Pulau Ketam, Kampung Tandiap dan Kampung Baru Tandiap yang mengambil masa 45 minit hingga satu jam mengikut permintaan pelancong.

Beliau berkata, selain berswafoto dan menikmati keindahan kampung, pelancong akan singgah membeli produk kampung seperti dodol, putu kacang, halwa maskat dan laksa Kuala Perlis sebagai buah tangan.

"Saya rasa bangga di samping membawa pelancong, saya dapat jadi duta kecil untuk mempromosi kampung ini," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong, Mohd Anwar Leman, 53, dari Melaka berkata, beliau pernah menaiki choley atau tuk tuk ketika melancong ke Thailand dan Indonesia namun pengalaman di Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai lebih unik kerana dapat melihat keindahan negara sendiri.

"Pengalaman naik choley di sini amat menyeronokkan kerana di samping menikmati keindahan kampung, pemandu choley menceritakan sejarah transformasi kampung ini yang merupakan cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bermula pada 2020.

"Secara peribadi, saya kagum dengan usaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berjaya mengubah sebuah kampung nelayan kepada produk pelancongan yang menarik dan tiada di tempat lain," katanya.

Pembangunan Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai adalah satu daripada usaha MAIPs bagi membangunkan ekonomi penduduk di kawasan tersebut dan secara tidak langsung dapat memperkasakan aset pelancongan negeri ini. - BERNAMA