Pengguna perkhidmatan LRT di stesen Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 boleh menikmati perjalanan di empat stesen baru itu secara percuma.

Perkhidmatan percuma itu ditawarkan mulai hari ini sehingga 30 November depan, ihsan dari Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), yang merupakan pemilik aset dan pengendali LRT laluan Ampang, LRT laluan Kelana Jaya, KL Monorail dan bas Rapid KL.

Penumpang juga boleh berulang-alik di antara Sri Petaling dan empat stesen baharu itu tanpa dikenakan bayaran.

Mereka hanya perlu meminta token perjalanan sehala daripada pegawai Perkhidmatan Pelanggan atau membeli token daripada mesin tiket layan diri (TVM) dengan memilih stesen destinasi.

Sementara itu, bagi penumpang LRT yang menaiki tren dari mana-mana empat stesen baharu tersebut, dan mahu keluar di stesen selepas Sri Petaling, akan hanya dikenakan caj bermula dari stesen Sri Petaling.

"Perkhidmatan percuma ini hanya terpakai untuk perjalanan dari Stesen Sri Petaling ke empat stesen baharu sahaja.

"Kami amat mengesyorkan penumpang untuk menggunakan Kad MyRapid untuk perjalanan yang lancar. Mereka boleh mengelakkan barisan," kata Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Tan Sri Ismail Adam pada majlis perasmian empat stesen baru hari ini.

Setakat ini projek sambungan LRT laluan Ampang dan Kelana Jaya berjalan mengikut jadual dan dijangka akan memulakan perkhidmatan sepenuhnya ke Stesen Putra Heights tahun depan.