MALAYSIA

Naik taraf CCTV, siar langsung perbicaraan kes - Azam Baki

Malekah Aisyah 28/08/2025 | 12:28 MYT
Tan Sri Azam Baki ketika sesi temubual khas bersama media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) - Foto SPRM
PUTRAJAYA: Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 melalui salah satu substrateginya menetapkan supaya kes rasuah disiarkan secara langsung untuk memulihkan keyakinan rakyat.


Ringkasan AI
  • Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 melalui salah satu substrateginya menetapkan supaya kes rasuah disiarkan secara langsung untuk memulihkan keyakinan rakyat.
  • Langkah itu penting bagi menghalang penyelewengan fakta dan fitnah dalam platform media sosial berkaitan kes-kes rasuah yang dibicarakan di mahkamah.
  • NACS turut mencadangkan sistem CCTV di lokap dinaik taraf, termasuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang dihubungkan ke pusat kawalan.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan, langkah itu penting bagi menghalang penyelewengan fakta dan fitnah dalam platform media sosial berkaitan kes-kes rasuah yang dibicarakan di mahkamah.

NACS turut mencadangkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokap dinaik taraf, termasuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang dihubungkan ke pusat kawalan.

“CCTV ini penting bagi saya, saya sarankan CCTV itu bukan sekadar CCTV yang biasa, pertama, kena ada sistem AI terutama sekali di agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang juga mempunyai pusat tahanan dan banduannya yang tersendiri.

“Yang kedua go to command centre yang tersendiri. Ini adalah untuk mengurangkan kejadian-kejadian yang tidak diingini. Saya sudah mengadakan mesyuarat berhubung isu ini dan menegaskan pelan yang lebih komprehensif bagi tujuan pemasangan CCTV yang dinaik taraf dan akan menekankan kepada kerajaan berhubung keperluan pemasangan CCTV di agensi-agensi Kerajaan berkaitan,” katanya ketika sesi temu bual khas bersama media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), di sini.

Tambah Azam, satu kertas cadangan komprehensif akan dibentangkan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

SPRM pada masa sama merintis program pendidikan antirasuah seawal peringkat prasekolah, dengan kerjasama pakar universiti, bagi memupuk nilai integriti bermula daripada bangku sekolah.

Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pakar termasuk di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berhubung pendekatan pembelajaran yang sesuai bagi kanak-kanak di peringkat prasekolah untuk dimajukan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya dah persetujui untuk kita majukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk prasekolah dalam bentuk yang lebih mudah supaya di peringkat prasekolah juga ada elemen berhubung isu rasuah.

“Kita masukkan dalam pemikiran kanak-kanak ini maka mereka melihat kepada rasuah itu adalah satu perkara yang tidak baik tapi dalam bentuk lebih mudah iaitu pembelajaran yang simple dalam bentuk komik dan juga bentuk digital,” tambahnya.


#SPRM #NACS #CCTV #AI #Azam Baki