MALAYSIA

Naik taraf HDC kepada Suruhanjaya Pembangunan Halal - Ahmad Zahid

Irfan Faruqi 10/11/2025 | 13:15 MYT
Ahmad Zahid ketika ditemu bual Nazri Kahar di Shanghai. - Gambar Facebook Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masa untuk Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) Berhad dinaik taraf menjadi sebuah suruhanjaya.


Ringkasan AI
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa peningkatan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) Berhad menjadi Suruhanjaya Pembangunan Halal bagi membangunkan industri halal secara menyeluruh.
  • Rancangan Malaysia Ke-13 merancang pembentukan Suruhanjaya Pembangunan Halal sebagai badan tunggal untuk tadbir urus industri halal, menggalakkan pelaburan, dan menjadi pusat rujukan global.
  • Ahmad Zahid menargetkan jualan syarikat Malaysia di MIHAS@Shanghai 2025 mencapai RM3 bilion berbanding sasaran asal RM2.5 bilion, selepas pameran dua hari, telah mencatatkan jualan RM1.24 bilion.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia perlu beranjak daripada sekadar mengeluarkan sijil halal kepada membangunkan industri halal secara menyeluruh.

"Kita adalah negara yang mulakan pensijilan di dunia pada 1974. Pensijilan halal ini diperakui seluruh dunia. Maka kita perlu beranjak kepada pembangunan industri halal.

“Inilah cadangan yang dibuat oleh saya dan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) untuk menaiktaraf Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) kepada Suruhanjaya Pembangunan Halal.

“Ertinya, kita fokus kepada pembangunan industri halal. Kita lihat pada tahun 2030, permintaan produk halal akan mencapai USD3 trilion. Jangkaan kita pada tahun 2050 permintaan itu akan meningkat kepada USD5 trilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Untuk konteks, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah menggariskan rancangan kerajaan untuk mewujudkan sebuah Suruhanjaya Pembangunan Halal sebagai badan tunggal yang bertanggungjawab dalam tadbir urus dan pembangunan halal, menyelaras serta memudah cara keperluan industri dan menggalakkan pelaburan.

Menurut dokumen itu, suruhanjaya berkenaan akan berperanan sebagai pusat rujukan dan hab standard untuk industri halal global.

Ahmad Zahid ketika ditemu bual semasa menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) @Shanghai 2025 juga berkongsi hasrat agar syarikat-syarikat Malaysia yang menyertai pameran berkenaan meraih jualan lumayan.

“Di Shanghai mereka sasarkan RM2.5 bilion. Tetapi saya tidak berpuas hati kerana saya sendiri turun dan para pempamer banyak berbelanja untuk tujuan pemasaran, bahkan MATRADE juga bersungguh-sungguh.

“Maka saya fikir sasaran yang sewajarnya ialah RM3 bilion. Saya yakin jumlah jualan akan lebih daripada sasaran yang saya hasratkan,” ujarnya.

MIHAS@Shanghai 2025 berlangsung dari 5 hingga 10 November.

Selepas hanya dua hari penganjuran MIHAS@Shanghai, RM1.24 bilion jumlah jualan telah berjaya diraih.





#Halal #Matrade #MITI #pelaburan