Beberapa perkampungan lama di sekitar pinggiran sungai Kuching akan dibangunkan dengan infrastruktur yang bakal menjadi daya tarikan baharu pelancong ke kawasan tersebut.

Bagi merealisasikan visi itu, infrastruktur awam seperti jambatan antara kampung sedang dibina semula berdasarkan rekaan yang lebih moden dan menarik.

Jelas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri sentiasa memandang ke arah pembangunan yang stabil dari aspek kemajuan dan kehidupan tradisi.

Tambahnya kerajaan negeri optimis mengangkat nilai warisan dan sejarah di beberapa perkampungan lama termasuk di bandaraya Kuching.

“Kita (kerajaan negeri) akan memajukan kemudahan-kemudahan yang boleh memberikan servis terbaik kepada pelancong yang ingin melawat lokasi-lokasi menarik ini.

“Ini kerana di kawasan-kawasan ini ada peninggalan sejarah yang unik seperti Brooke Dockyard dan dalam aspek sejarah kedatangan Islam pula, kawasan ini memiliki masjid lama atau kini dikenali sebagai Masjid Bandaraya,”

Tambah Abang Johari, jambatan utama di Sungai Bintangor antara infrastruktur yang sedang dibina semula sebagai bangunan ikonik baharu kawasan berkenaan.

“Sebuah jambatan yang ikonik sedang dibangunkan dan ini akan menjadi tarikan utama kepada pelancong selain melihat kepada kehidupan tradisi di kampung ini.

“Selain daripada itu, dengan adanya jambatan ini kelak, pelbagai aktiviti sukan rekreasi air boleh dianjurkan sebagai salah satu tarikan menarik di sini,” ujar Abang Johari lagi.


Projek infrastruktur tersebut melibatkan pembinaan jambatan ikonik sepanjang 57 meter merentasi Sungai Bintangor dan menaiktaraf serta memperlebarkan jalan dua hala dari Masjid Bahagian ke simpang jalan Haji Mataim.

Projek tersebut bermula Disember 2019 dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022.