KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan untuk menaik taraf status Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kepada sebuah bandar raya dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan pendapatan dan hasil MPAJ dapat ditingkatkan bagi membolehkan untuk mengurus sebuah bandar raya kelak.

"Ampang Jaya merupakan kawasan yang berada di antara Kuala Lumpur dan beberapa lokalitinya yang boleh dianggap sedikit jauh dari kawasan kemajuan dalam negara, tetapi saya percaya Ampang Jaya merupakan kawasan penempatan yang sudah lama terbentuk dengan pembentukan bandar dan bandar raya di kawasan sekitarnya.

"Berdasarkan keadaan fasiliti, kemudahan dan sebagainya, Ampang Jaya sebenarnya sudah layak menjadi bandar raya tetapi kita kena pastikan MPAJ mempunyai hasil yang mencukupi atau mampu untuk menguruskan sebuah bandar raya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada acara pelepasan peserta Larian Malam Ampang Jaya 2023 anjuran MPAJ dekat sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga sedang merangka satu pelan khusus bagi memastikan kelestarian pembangunan di kawasan Ampang Jaya khususnya yang bersempadan dengan Kuala Lumpur.

"Ini bagi memastikan kualiti antara kedua-dua lokaliti ini tidak jauh sangat walaupun Ampang Jaya masih lagi sebuah perbandaran manakala Kuala Lumpur sudah berstatus bandar raya," katanya.

Pada program Larian Malam Ampang Jaya 2023 malam tadi, seramai 2,100 peserta mengambil bahagian yang diadakan di Jalan Pandan Utama, Pandan Indah bersempena ulang tahun MPAJ ke-31 pada 1 Julai lepas.

-- BERNAMA