[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

Naikkan gaji tak selesaikan isu kos sara hidup - Dr Mahathir

Astro Awani 18/04/2025 | 15:46 MYT
Dr Mahathir mengingatkan peningkatan gaji tidak akan meningkatkan kuasa beli rakyat. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kenaikan gaji tidak menyumbang kepada peningkatan dalam kuasa beli dan menyelesaikan isu kos sara hidup.
Menurutnya, apabila sesuatu gaji dinaikkan, seseorang akan membeli hanya lebih sedikit daripada apa yang dibeli dengan gaji sebelumnya dan situasi itu akhirnya meningkatkan semula kos sara hidup ekoran kenaikan gaji yang meningkatkan kos pengeluaran.
Malah beliau menjelaskan, peningkatan kos pengeluaran pula disebabkan kenaikan kos buruh dan lain-lain, yang akan mengurangkan kuasa beli gaji yang dinaikkan.
Beliau percaya penyusutan mata wang berlaku jika Kerajaan cuba mengejar peningkatan kos (inflasi) dengan meningkatkan gaji.
"Perlu diingatkan bahawa kuasa beli tidak banyak meningkat dengan kenaikan gaji. Malah kesan kenaikan gaji ke atas kos pengeluaran dan semua overhead akan menyebabkan kos sara hidup yang lebih tinggi kerana kos barangan dan perkhidmatan lebih tinggi berbanding kos sebelumnya," katanya.
Tambahnya, percubaan beberapa negara mengejar kenaikan kos sara hidup dengan meningkatkan pendapatan telah menyebabkan kuasa beli mata wang semakin berkurangan, mengakibatkan mata wang gagal hampir sepenuhnya.
“Tetapi sudah tentu, kejatuhan nilai mata wang bukan sahaja disebabkan peningkatan pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup.
"Ia juga berpunca daripada rasuah, pengeluaran wang kertas dan nota mata wang yang mempunyai nilai lebih tinggi, perdagangan mata wang dan jualan pendek serta banyak lagi faktor lain
Justeru, kerajaan perlu berhati-hati dengan permintaan dan gesaan pelbagai pihak yang mahukan gaji minima dinaikkan, bagi mengelakkan ringgit menerima nasib yang sama dengan Rupiah dan lira.
#kos sara hidup #Inflasi #Rasuah #mata wang