Naikkan harga gula: "Nangis air mata darah pun saya tak akan kompromi" - Salahuddin

Hilmi Malik
Jun 13, 2023 09:32 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Salahuddin Ayub ketika sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR : Kerajaan sekali lagi menegaskan tidak akan membuka sebarang ruang kompromi terhadap pihak yang sengaja menaikkan harga jualan gula biasa.
Tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Salahuddin, tindakan itu bukan alasan berikutan selepas gula premium diperkenalkan.
“Ramai yang bimbang akan berlaku penyorokan, pakat-pakat (sorok gula) dan menyebabkan kedai runcit, pasar raya jadi mangsa dikenakan syarat maka kita ada banyak akta yang boleh heret mereka ke muka pengadilan.
“Sama ada pengilang, pemborong, peruncit, sekiranya mereka bermain-main atau berkomplot tentang harga gula rakyat ini anda akan terima akibatnya. Mereka akan didakwa, disaman, dan dibawa ke mahkamah.
“Mereka akan disenaraihitamkan, menangislah air mata darah berjumpa saya di pejabat tidak akan saya kompromi demi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulung perbahasan Penerangan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam sesi sama, Salahuddin turut menyatakan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) telah memperoleh kebenaran bagi mengeluar dan memasarkan gula jernih.
Ini termasuk kebenaran untuk menjual gula berkenaan mengikut harga pasaran bermula sejak 25 Mei lalu.
Meskipun kebenaran itu telah diperoleh namun kedua-dua syarikat berkenaan masih terikat dengan Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peruntukan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Perkara itu bagi memastikan kadar minimum pengeluaran gula biasa adalah sebanyak 42,000 metrik tan (MT) dalam tempoh sebulan.
#KPDNHEP #Salahuddin Ayub #harga gula