MALAYSIA
Naim Daniel tiba di mahkamah
Naim Daniel (kiri) ditemani peguamnya tiba di Mahkamah Sesyen dipercayai bagi menghadapi kes seksual terhadap seorang remaja perempuan.
PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon terkenal tanah air, Naim Daniel, tiba di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini, dipercayai bagi menghadapi kes seksual terhadap seorang remaja perempuan.
Penyanyi berusia 28 tahun itu yang mengenakan kot hitam tiba di mahkamah pada pukul 8.34 pagi dengan ditemani ibu dan peguamnya.
Naim yang masyhur dengan lagu Sumpah dan Purnama itu kelihatan tenang dan sempat bertegur sapa dengan pengamal media sebelum naik ke mahkamah.
“Assalammualaikum…,” kata Naim menyapa wartawan yang membuat liputan.
Pada 3 Jun lalu, selebriti ini disiasat susulan polis menerima laporan daripada ibu remaja mendakwa bahawa anak perempuannya menjadi mangsa gangguan seksual selepas mengenali suspek di sebuah kafe tempat gadis terbabit bekerja.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar, berkata kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di Petaling Jaya selepas suspek mengajak remaja itu berjumpa.