KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak secara aktif mengawal dan mentadbir SRC International Sdn Bhd, sama ada secara langsung atau melalui bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil.
Bekas Pengarah SRC Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 56, berkata Nik Faisal, yang dilantik sebagai pengarah dan CEO syarikat berkenaan, bertindak sebagai proksi Najib dan penghubung antara perdana menteri ketika itu dengan lembaga pengarah SRC.
Advertisement
Beliau berkata Nik Faisal akan membentangkan kertas kerja dan cadangan kepada lembaga pengarah untuk kelulusan, mengambil tindakan susulan terhadap projek dan melaporkan perbincangan dan keputusan berkaitan syarikat secara terus kepada Najib.
"Semua pengarah diwajibkan mematuhi dan melaksanakan keputusan serta arahan Datuk Seri Najib sebagaimana diwakili oleh Nik Faisal atau melalui surat dan dokumen yang ditandatangani beliau.
"Apa-apa sahaja pandangan atau komen, Nik Faisal akan memberitahu kami bahawa projek atau perkara itu telah diluluskan dan disahkan oleh Datuk Seri Najib atau kerajaan," kata Shahrol Azral dalam pernyataan saksinya dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Shahrol Azral, yang dinamakan sebagai antara pihak ketiga dalam saman itu, memberikan keterangan bahawa beliau terpaksa mematuhi arahan Nik Faisal kerana individu berkenaan bertindak sebagai proksi dan penghubung antara Najib dengan pengarah-pengarah SRC pada masa material.
"Nik Faisal dilantik oleh Datuk Seri Najib sebagai pengarah, CEO dan wakil korporat SRC serta ditugaskan mengetuai pengurusan syarikat itu. Beliau turut merupakan penandatangan sah bagi semua akaun bank SRC dan pemegang mandat bagi akaun peribadi Najib.
"Arahan yang disampaikan oleh Nik Faisal semasa mesyuarat lembaga pengarah disahkan dalam minit mesyuarat pemegang amanah yang ditandatangani sendiri oleh Najib, dan beliau menyampaikan keputusan Najib yang wajib dilaksanakan oleh semua pengarah," katanya dan menambah berdasarkan alasan berkenaan, beliau tiada sebab atau asas untuk tidak mempercayai Nik Faisal pada masa itu.
Saksi berkenaan juga memaklumkan mahkamah bahawa semua keputusan penting berhubung pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dibuat oleh Najib dan sebagai pengarah biasa dalam lembaga, beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan kewangan.
Menjawab tuntutan indemniti Najib terhadap pihak ketiga dalam saman itu, Shahrol Azral berkata beliau tidak bertanggungjawab untuk menanggung rugi atau menyumbang kepada bekas perdana menteri itu sekiranya Najib didapati bertanggungjawab terhadap SRC dan menafikan bahawa beliau perlu memberikan akaun kepada SRC sebagai pemegang amanah konstruktif, pampasan atau sebarang jumlah atau ganti rugi kepada SRC atau menyediakan relif perisytiharan seperti yang dituntut Najib.
"Saya juga menafikan dakwaan Datuk Seri Najib bahawa saya telah bertindak secara penipuan, gagal melaksanakan tugas sebagai pengarah, bersekongkol dengan orang lain serta memanipulasi SRC untuk meneruskan satu penipuan yang menyebabkan berbilion-bilion dana daripada syarikat itu disalurkan dan disalahgunakan secara tidak sah.
"Saya tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan berkaitan kerugian dan kerosakan yang dialami SRC berhubung penyelewengan dana RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan). Sebaliknya, Datuk Seri Najib telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan sabitan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan, manakala rayuannya di Mahkamah Persekutuan ditolak," katanya.
Saman sivil yang difailkan oleh SRC dan Gandingan Mentari pada 2021 untuk memohon satu perisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab terhadap RM42 juta serta menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam dan penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
-- BERNAMA