Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Najib, anak lelaki gagal tangguh prosiding kebankrapan

Bernama 17/11/2025 | 03:00 MYT
Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Najib (kanan) dan anaknya,Mohd Nazifuddin perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.

Prosiding itu dimulakan kerana mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan@Saheran Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada sebarang kemudaratan lain yang mewajarkan penangguhan.

"Dalam keadaan ini, kedua-dua rayuan ditolak dengan kos RM7,000 setiap seorang," katanya.

Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Najib dan anaknya perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Suhendran berkata, merit penilaian cukai terletak di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) dan dalam perkara seumpama itu, peranan mahkamah adalah untuk memudahkan kutipan serta mendapatkan semula cukai pendapatan.

"Dakwaan Datuk Seri Najib dan Nazifuddin berkenaan isu had masa, pengiraan tidak tepat dan derma politik adalah perkara yang berkaitan dengan merit rayuan cukai serta harus diputuskan oleh SCIT.

"Ia juga selari dengan konsep yang telah lama digunakan di Malaysia dalam kutipan cukai iaitu formula pay first, dispute later di bawah Akta Cukai Pendapatan, bertujuan untuk memudahkan kutipan cukai," katanya.

Beliau turut menolak hujahan bahawa rayuan Najib dan Nazifuddin yang masih berjalan di hadapan SCIT wajar dijadikan alasan untuk penangguhan, sambil menegaskan bahawa rayuan sedemikian tidak menghalang atau menggantung proses kutipan cukai.

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili kedua-dua perayu, pula berkata beliau telah diarah untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman terus dalam kes tunggakan cukai terhadap mereka.

Penghakiman terus ialah keputusan yang dibuat oleh mahkamah berdasarkan hujahan bertulis tanpa memanggil saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.

Sebelum ini, dua Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus untuk mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan anaknya bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Pada September 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan dua beranak itu bagi mengetepikan penghakiman tersebut sebelum Mahkamah Persekutuan pada 10 Mei 2022 memberi kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan di peringkat tertinggi.

-- BERNAMA







#anak lelaki Najib #Mohd Nazifuddin #prosiding kebankrapan #Najib Razak