Bajet 2015, yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, kekal mesra perniagaan dan pelabur serta inklusif, mengambil kira kebimbangan rakyat dengan memberi penekanan kepada keperluan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara yang diberi perhatian bagi perniagaan ialah menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi, penubuhan had utama oleh syarikat-syarikat multinasional, merangsang industri kreatif, meningkat kapasiti jalur lebar berkelajuan tinggi serta membangunkan perusahaan kecil dan sederhana serta memajukan inovasi dan pengkomersialan.

Mengambil peluang berucap secara terus kepada rakyat, yang disiarkan secara langsung di televisyen arus perdana, Najib, yang juga Menetri Kewangan, turut mencadangkan pelbagai langkah untuk mengurangkan kebimbangan berhubung kenaikan kos sara hidup.

Antaranya, menaikkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), bantuan pendidikan, memacu pelaburan awam dan swasta, meluaskan skop barangan yang tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan insentif cukai yang lain.

Bertemakan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat", ia menggariskan tujuh strategi utama iaitu, memperkukuh pertumbuhan ekonomi, memantap tadbir urus fiskal, mengupaya modal insan dan keusahawanan, memperkasa agenda Bumiputera, memartabat peranan wanita, membangun program transformasi belia negara dan mensejahtera rakyat.

Perdana Menteri berkata cabaran utama dalam enyediakan belanjawan RM273.9 bilion ini, yang merupakan peningkatan RM9.8 bilion berbanding belanjawan sebelumnya, bagi menyeimbangkan antara dasar yang popular dan dasar yang berasaskan kepentingan ekonomi dan kewangan.

Bajet 2015 merupakan belanjawan terakhir dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015).
Najib, yang berbaju Melayu jingga, membentangkan Bajet 2015 itu di Dewan Rakyat, belanjawan keenam beliau sejak memegang tampuk pentadbiran negara.

Perdana Menteri yakin negara akan mencapai pertumbuhan ekonomi kukuh pada kadar antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus tahun ini serta 5.0 peratus dan 6.0 peratus pada 2015.

Defisit fiskal dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus tahun ini dan terus bertambah baik kepada 3.0 peratus menjelang akhir 2015, kata beliau.

Mengenai CBP, Najib berkata pelaksanaannya dianggarkan menjana RM23.2 bilion dalam hasil tahun depan.

"Bagaimanapun, sebagai kerajaan prhatin, kita telah mengecualikan sebilangan barangan yang keseluruhannya dianggarkan RM3.8 bilion," kata beliau dan menambah bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmaatn (SST) akan dimansuhkan.

"Ini akan menyebabkan kehilangan hasil kerajaan sebanyak RM13.8 bilion. Ini bermakna bila ditolak RM13.8 bilion dan RM3.8 bilion daripada kutipan RM23.2 bilion itu, baki yang ada berjumlah RM5.6 bilion," kata Najib.

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata sebanyak RM4.9 bilion akan disalurkan kembali untuk keperluan rakyat melalui pakej-pakej bantuan, contohnya tambahan BR1M.

"Akhirnya, hasil bersih kutipan CBP hanyalah berbaki RM690 juta," katanya.

Membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat, Najib berkata pengguna dan kumpulan sasaran yang berkenaan tidak perlu membayar CBP bagi pembelian petrol RON95, diesel and LPG.

Golongan bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan juga akan menerima BR1M sebanyak RM350, berbanding RM300 sebelum ini.

Najib yang berbaju Melayu jingga berkata kerajaan akan meneruskan komitmennya memberi bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar, yang membabitkan 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah dengan peruntukan RM540 juta.

Ini bagi meringankan beban perbelanjaan awal persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga pelajar terutamanya yang berpendapatan rendah.

Di samping itu, program Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 bagi setiap pelajar juga diteruskan dengan peruntukan RM325 juta, yang memberi manfaat kepada 1.3 juta pelajar.

Dalam respons kepada keluhan rakyat mengenai kesukaran mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan, perdana menteri mengumumkan 65 lagi pasar tani kekal dan 50 pasar ikan akan dibuka, sebagai tambahan kepada 526 pasar tani dan pasar ikan sedia ada di seluruh negara.

Dalam membela nasib nelayan, Najib mengumumkan elaun sara hidup nelayan akan dinaikkan antara RM50 dan RM100 daripada RM200 sebulan sekarang, bergantung kepada zon masing-masing.

Bagi nelayan darat (yang terlibat dalam aktiviti akuakultur) sepenuh masa, buat pertama kalinya lebih 44,000 nelayan akan diberi elaun RM200 sebulan.

Malah, katanya rumah nelayan juga diberi perhatian apabila kerajaan menyedia peruntukan tambahan RM250 juta untuk membina dan membaik pulih rumah nelayan tahun depan, selepas memperuntukkan RM300 juta dalam Bajet 2012.

Kerajaan akan memperuntuk RM100 juta untuk melaksanakan mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang bagi melindungi pekebun kecil daripada mengalami kerugian terutama semasa harga pasaran dunia lebih rendah daripada harga minimum yang ditetapkan.

Dalam menangani isu pemilikan rumah dengan harga berpatutan, perdana menteri berkata sebanyak 143,000 unit rumah mampu milik lagi akan dibina di seluruh negara.

Ia terdiri daripada 80,000 unit rumah PR1MA, 26,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat, 12,000 unit Rumah Mesra Rakyat, 5,000 unit Rumah Idaman Rakyat dan 20,000 unit Rumah Aspirasi Rakyat.

Najib berkata kerajaan juga akan terus membela golongan miskin, kanak-kanak, warga emas dan OKU dengan memperuntukkan RM1.2 bilion buat mereka.

"Untuk menunjukkan keprihatinan kepada golongan ini, kerajaan bersetuju kadar bantuan bagi OKU bekerja dinaikkan daripada RM300 kepada RM350, manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan daripada RM150 kepada RM200.

"Ini memberi manfaat kepada 110,000 OKU dengan peruntukan sebanyak RM66 juta," katanya.
Selain itu, pelepasan cukai bagi setiap anak OKU juga dinaikkan dari RM5,000 kepada RM6,000.

Perdana menteri berkata kerajaan juga memperuntukkan RM711 juta kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, PERMATA dan Tabika Perpaduan bagi tujuan mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak.

Untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam pula, kerajaan akan menambah baik 252 skim perkhidmatan sedia ada.

Selain itu, katanya bagi membolehkan penjawat awam memiliki rumah, kerajaan menaikkan had kelayakan minimum pinjaman perumahan daripada RM80,000 kepada RM120,000, manakala had kelayakan maksimum dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000.

Beliau turut mengumumkan kerajaan akan menurunkan harga minimum rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia daripada RM150,000 kepada RM90,000 dan akan membina 5,380 unit rumah itu lagi di Putrajaya, Bukit Jalil (Kuala Lumpur), Papar (Sabah) dan Bukit Pinang (Kedah).

Berita yang dinantikan penjawat awam juga terjawab apabila Najib mengumumkan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji atau bayaran minimum RM500 untuk mereka, manakala pesara kerajaan diberi bantuan khas sebanyak RM250, yang semuanya dibayar pada Januari depan.

"Saya berharap pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan para penjawat awam, terutamanya kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan nanti," katanya.

Perdana menteri berkata di bawah peruntukan pembangunan dalam Bajet 2015, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi iaitu RM29.3 bilion manakala sektor sosial menerima RM12.6 bilion yang merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat.

Sektor keselamatan pula diberi peruntukan RM4.9 bilion, sektor pentadbiran am RM1.7 bilion dan simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.

Najib berkata kutipan hasil kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak RM235.2 bilion pada 2015 yang meningkat RM10.2 bilion berbanding 2014.

Bajet 2015 menggariskan tujuh strategi utama iaitu Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi, Memantap Tadbir Urus Fiskal, Mengupaya Modal Insan dan Keusahawanan; Memperkasa Agenda Bumiputera, Memartabat Peranan Wanita, Membangun Program Transformasi Belia Negara dan Mensejahtera Rakyat.

Ini merupakan pembentangan bajet keenam oleh Najib sejak beliau mengambil alih pentadbiran negara pada 2009, dan Bajet 2015 adalah bingkisan pelengkap kepada 10 Rancangan Malaysia.

Pertumbuhan ekonomi bagi 2015 dijangka kekal kukuh pada kadar lima hingga enam peratus, manakala defisit fiskal dijangka berkurangan kepada tiga peratus.

"Kadar defisit fiskal negara semakin baik. Kita telah dapat menurunkan kadar defisit daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013 dan dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus tahun ini," katanya.

Bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur luar bandar sejumlah RM4.5 bilion diperuntukkan terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi tujuan itu.

Kerajaan juga akan menyediakan "National Water Blueprint" bagi memastikan kelangsungan bekalan air diseluruh negara untuk jangka panjang, termasuk pengurusan sungai secara holistik, pembinaan dan penambahbaikan loji-loji rawatan air.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan negara, Najib berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM27.8 bilion.

Seperti amalan tradisi bajet, Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan terbesar sebanyak RM56 bilion dalam usaha negara mengukuhkan modal insannya ke arah menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Menyedari peranan belia dalam pembangunan negara, perdana menteri berkata kerajaan memperuntukkan RM320 juta untuk program-program belia tahun depan.

Dalam pada itu, sebanyak RM23.3 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf perkhidmatan dan kemudahan kesihatan rakyat termasuk membina hospital di Terengganu dan Perak serta menambah lagi 30 Klinik 1Malaysia diseluruh negara.

Ucapan Najib selama dua jam 10 minit itu, yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), memaparkan perkara yang dekat dengan hati dan mudah difahami oleh rakyat kerana beliau mendengar denyutan nadi mereka.

Perdana menteri sedar melalui maklum balas yang diterimanya menunjukkan rakyat sering melontarkan persoalan mengenai manfaat yang diperoleh mereka daripada "angka berjuta-juta, peruntukan berbilion-bilion dan pelbagai projek mega".

"Bak kata orang kampung saya di Pekan, maaf bercakap, rasanya perkara-perkara dokumen bajet begini, serta apa yang disebut seperti jauuuuuuh...dan tidak ada kena mengena dengan pakcik, makcik, kawan-kawan bukan sahaja di luar bandar, malah juga di bandar," kata Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan.