KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat jika wujud persembunyian bukti material berhubung transaksi wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

Bekas Perdana Menteri itu turut memohon PDRM menjalankan siasatan terperinci berkaitan beberapa pemimpin dan pegawai kanan kerajaan di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa beliau, sengaja menyembunyikan bukti berkaitan 1MDB

Najib turut mengakui kekecewaannya apabila beliau dan pasukan guamannya tidak dimaklumkan mengenai hubung kait atau urus niaga antara ahli keluarga terdekat seorang bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low



Najib namakan beberapa individu, tidak dedahkan kerana dalam siasatan

Dakwa Najib, tindakan pihak tertentu menyembunyikan fakta dan bukti tersebut menjejaskan usaha pembelaan beliau dalam kes mahkamah



Najib buat laporan polis dakwa bukti disembunyikan

"Kebanyakan rakyat Malaysia terkejut dengan pengesahan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) minggu lepas bahawa baki RM65 juta daripada dana dilaporkan dikaitkan dengan Jho Low dan 1MDB di bank akaun yang dikaitkan dengan keluarga terdekat bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) telah dikembalikan ke Malaysia oleh pihak berkuasa Singapura.

"Laporan media telah mengatakan bahawa sebanyak RM700 juta telah dipindahkan ke akaun bank yang dikaitkan dengan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sejak tahun 2007 hingga tahun 2013.

"Tiada siapa yang boleh lebih kecewa daripada saya kerana tiada agensi penyiasatan yang pernah mendedahkan kepada saya tentang kaitan keluarga bekas Gabenor (tersebut) kepada Jho Low atau urusan mereka kerana saya telah mempercayainya (bekas Gabenor BNM itu) sepenuhnya semasa saya menjadi Perdana Menteri," jelasnya.

Najib berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan kekecewaannya apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengesahkan sedar akan urus niaga tersebut ketika masih memegang jawatan.

"Lebih mengecewakan lagi, pendedahan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dua hari lalu itu (bahawa) dia sedar tentang urus niaga tersebut ketika beliau memegang jawatan seperti dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar di Parlimen Isnin lalu.

"Bahawa polis telah mengetahui mengenai perkara ini sejak tahun 2019 di bawah rejim kerajaan Pakatan Harapan tetapi masih menyiasat sehingga kini hampir penghujung tahun 2021," dakwa Najib lagi.

Tambah Najib, maklumat terbabit tidak pernah dimaklumkan kepada beliau dan pasukan undang-undangnya untuk digunakan dalam pembelaannya di mahkamah berhubung kes 1MDB dan SRC International.

"Saya juga dimaklumkan bahawa seorang lagi saksi utama pendakwaan dalam kes SRC saya juga telah menerima lebih daripada RM85 juta dana yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB dan sekali lagi saya dan pasukan undang-undang saya tidak diberitahu tentang perkara ini walaupun individu memainkan peranan penting dalam kes SRC.

"Oleh itu, saya membuat laporan untuk meminta polis menyiasat jika terdapat percubaan yang disengajakan untuk disembunyikan bukti material daripada saya dan semua rakyat Malaysia oleh individu penting di Pejabat Peguam Negara dan SPRM yang dilantik semasa pentadbiran Pakatan Harapan," jelasnya lagi.