KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan kepada pihak berkuasa beliau membuka akaun peribadi di AmBank untuk menerima sumbangan daripada Arab Saudi.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, ACP Foo Wei Min mengesahkan perkara itu ketika disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhammad Shafee: Beliau membuka akaun itu untuk menerima sumbangan daripada Arab Saudi...selepas pertemuan dengan Almarhum Raja Abdullah, dan itu pendiriannya selama ini. Bukankah beliau memaklumkan kepada anda mengenainya? Foo menjawab "Ya".

Muhammad Shafee: Akaun berakhir 694 yang dikatakan dibuka untuk menerima wang derma, sebenarnya datang dari Arab Saudi, Bank Riyadh?

Foo : Ya.

Muhammad Shafee kemudian menyoal saksi itu sama ada beliau menyiasat penyata akaun bagi tiga dana iaitu Cistenique Inv (Cistenique), Enterprise Emerging Markets Fund (EEMF) dan Devonshire Capital Growth Fund (Devonshire), yang beliau dakwa dalam siasatannya telah memindahkan sebanyak US$1.59 bilion dari bon 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL) kepada Tanore Finance Corp.

Foo berkata beliau hanya melihat sekilas dokumen berkaitan dana yang diberikan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Muhammad Shafee: Adakah ini bermakna anda tidak menganalisis dokumen?

Foo: Perspektif siasatan saya di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram adalah menjurus kemasukan wang ke Tanore daripada ketiga-tiga dana ini.

Muhammad Shafee: Adakah anda berjumpa dengan sesiapa daripada ketiga-tiga dana ini untuk mengesahkan siasatan anda? Penyata akaun ini datang dari luar negara, adakah anda memperolehnya melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA)?

Foo: Saya tidak pernah merekodkan apa-apa kenyataan daripada sesiapa, dari ketiga-tiga dana ini. Untuk penyata akaun saya tidak pasti. Polis tidak mempunyai MLA, mestilah daripada SPRM.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA