KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah cuba menyekat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pegawai Penyiasat SPRM Penguasa Kanan Nur Aida Ariffin, 37, berkata Najib telah mengarahkan beberapa tindakan untuk menyekat siasatan SPRM semasa beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, termasuk menutup kes itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib semasa perbicaraan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata Nur Aida tidak mempunyai sebarang bukti untuk menunjukkan Najib mengeluarkan arahan-arahan tersebut.

Muhammad Shafee: Setuju atau tidak semasa siasatan oleh polis dan SPRM (terhadap 1MDB) tiada sekatan daripada Najib?

Nur Aida: Untuk SPRM, ada sekatan. Contoh tindakan yang diambil semasa Datuk Seri Najib menjadi PM antaranya menukar ketua pesuruhjaya SPRM, membuat tangkapan ke atas pegawai SPRM dan akhir sekali, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (bekas peguam negara) menutup kes itu walaupun SPRM mengesyorkan tindakan selanjutnya.

Muhammad Shafee: Mari kita lalui ini satu persatu. Saya akan tunjukkan ini hanyalah tanggapan salah kamu. Kamu katakan arahan untuk Mohamed Apandi tutup kes, No Further Action (NFA) datang daripada Najib?

Nur Aida: Berdasarkan nota-nota yang dirampas dari Datuk Amhari Efendi Nazaruddin (bekas pegawai khas Najib), ada dokumen iaitu nota percakapan yang disediakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) berhubung penutupan kes.

Nur Aida berkata Amhari semasa disoal siasat memberitahu nota tersebut disediakan oleh Jho Low berdasarkan arahan Najib dan perkara yang  dinyatakan dalam nota percakapan itu akhirmya berlaku.

Mendengar jawapan itu, Muhammad Shafee berkata perkara itu hanyalah andaian Nur Aida semata-mata kerana saksi itu tiada bukti atau keterangan terus (direct statement) yang membuktikan arahan itu daripada Najib.

Muhammad Shafee: Soalan saya, kamu tiada evidence yang mengatakan ini arahan terus dari Najib.

Nur Aida: Amhari pegawai khas Najib. Bagi saya keterangan itu cukup, semua dalam nota itu (yang SPRM rampas dari Amhari) dan antara perkara yang dikatakan dalam nota itu adalah pertukaran ketua pesuruhjaya selain siasatan kes perlu ditutup.

-- BERNAMA