MALAYSIA

Najib dakwa pegawai 1MDB harus dipertanggungjawab, bukan dirinya

Shafiqa Azami 21/10/2025 | 10:31 MYT
Najib (kiri) tegaskan pegawai 1MDB sepatutnya dipertanggungjawabkan atas dakwaan penyelewengan dana syarikat itu, dan bukan dirinya. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa beliau tidak seharusnya didakwa atas pertuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebaliknya pegawai-pegawai syarikat itu yang perlu memikul tanggungjawab sebenar.


Ringkasan AI
  • Najib Razak mendakwa pegawai kanan 1MDB bertanggungjawab atas penyelewengan dana dan bukan dirinya, dengan menyatakan mereka bertindak tanpa kelulusan dan menerima wang daripada Jho Low.
  • Beliau menamakan beberapa individu termasuk Azmi Tahir, Amhari Efendi, Shahrol Azral, Jasmine Loo dan Hazem Abdul Rahman sebagai pelaku utama dalam transaksi haram dan pemilikan aset mewah.
  • Najib berdepan empat pertuduhan penyelewengan dana RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, dengan perbicaraan berlangsung selama sembilan hari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Bekas Perdana Menteri itu mendakwa pegawai kanan 1MDB telah mengingkari arahan Lembaga Pengarah, membuat keputusan tanpa kelulusan, meluluskan pembayaran tidak sah berjumlah berbilion ringgit, serta menerima wang haram daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Pegawai-pegawai ini dianggap sebagai saksi-saksi kredibel yang menentang saya, seolah-olah mereka tiada sebarang motif peribadi untuk melepaskan diri,” katanya ketika membaca kenyataan dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Menurutnya, dana berjumlah AS$1.6 bilion telah diselewengkan oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir, manakala pegawai khas beliau, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin menerima AS$1 juta daripada Jho Low.

Najib turut menamakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai individu yang memindahkan AS$700 juta dan tambahan AS$330 juta kepada Jho Low tanpa kelulusan, selain menegaskan bahawa Jasmine Loo Ai Swan, peguam 1MDB, merupakan pihak yang membeli lukisan Picasso dan menyimpan RM100 juta.

“Hazem Abdul Rahman (CEO 1MDB) pula merupakan pihak yang membayar AS$175 juta kepada sebuah syarikat palsu,” tambahnya.

Ujarnya lagi, pegawai-pegawai 1MDB mengaku melaksanakan ‘rancangan sulit’ dan ‘talking points’ daripada Jho Low menggunakan saluran tidak rasmi, sebelum menghapuskan dokumen berkaitan bagi melindungi diri masing-masing.

“Di mahkamah, mereka mendakwa segala tindakan mereka adalah atas arahan saya. Sedangkan semua ini adalah naratif yang mereka bina untuk selamatkan diri,” kata Najib.

Kenyataan itu dibacakan sebelum pasukan pembelaan memulakan penghujahan lisan dalam perbicaraan membabitkan empat pertuduhan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Prosiding hari ini didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, manakala penghujahan pembelaan dikemukakan oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

Perbicaraan yang dijadualkan berlangsung selama sembilan hari akan bersambung esok.

Mengikut pertuduhan, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan, didakwa menggunakan kedudukannya antara 2011 dan 2014 untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB.

Beliau juga berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama yang didakwa dilakukan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Bukit Ceylon, Kuala Lumpur.






#Najib Razak #pegawai kanan 1MDB bertanggungjawab #Azmi Tahir Amhari Efendi #Shahrol Azral Jasmine Loo #Hazem Abdul Rahman #penyelewengan dana