KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disahkan COVID-19, telah dibenarkan pulang ke Penjara Kajang, hari ini.

Menurut Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi, ujian saringan COVID-19 kali kedua yang dijalankan ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu pada Jumaat menunjukkan keputusan negatif.

"Walau bagaimanapun pihak HKL masih membuat pemantauan ke atas tahap kesihatan Datuk Seri Najib Razak sehingga 5 November.

"Setelah doktor membuat pemeriksaan terakhir pada tarikh tersebut, beliau dibenarkan pulang ke Penjara Kajang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad malam.

Dalam masa sama, Muhamad Mukhlis menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak penjara, khususnya Penjara Kajang dan pegawai perubatan Penjara Kajang yang prihatin dengan kesihatan dan kebajikan bekas Presiden UMNO itu.

"Sekalung penghargaan juga buat pihak HKL yang telah memberikan rawatan yang sebaik mungkin," tambahnya.

Sebelum ini media melaporkan, Muhamad Mukhlis memaklumkan Najib dimasukkan ke hospital selepas disahkan positif COVID-19, dan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, Najib dikejarkan ke hospital dari penjara selepas mengadu demam.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam sidang media di Parlimen, turut mengesahkan masalah kesihatan yang sedang dihadapi Najib.