KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy bahawa surat representasi itu telah dihantar kepada AGC pada 31 Julai lepas dan diterima pada 2 Ogos.

Ini merupakan representasi pertama Najib berhubung kes SRC keduanya.

Mohd Ashrof berkata AGC memerlukan tindakan dalaman untuk mengkaji representasi itu dan pihak pendakwaan memohon tarikh pengurusan kes lain bagi tempoh tiga bulan untuk mendapatkan semua isu yang dibangkitkan peguam dan menyediakan jawapan bertulis untuk representasi tersebut.

"Terdapat beberapa isu berkaitan yang dibangkitkan peguam bela tertuduh, terutamanya selain dokumentasi yang akan dibentangkan dalam perbicaraan ini berbanding dokumen yang telah dikemukakan dalam SRC asal," katanya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan dokumen setebal 51 muka surat telah dikemukakan kepada AGC.

"Dokumentasi dalam kes ini sama dengan kes terdahulu (kes SRC pertama). Saksi dan dokumen hampir sama," kata peguam itu.

Hakim Muniandy kemudian menetapkan 1 Dis untuk pengurusan kes itu.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bekas perdana menteri itu kemudian memfailkan permohonan untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan dan panel baharu Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya pada 31 Mac.

-- BERNAMA