Datuk Seri Najib Tun Razak berkata industri pelancongan negara mencatat pertumbuhan luar biasa dengan menyumbang lebih RM47 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) tahun lepas.

Perdana Menteri berkata pencapaian ini menjadi tonggak penting Malaysia ke arah mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Malaysia menyaksikan pertumbuhan luar biasa dalam industri pelancongannya," kata Najib dalam laman Facebooknya, yang turut membuat pautan kepada sebuah artikel dalam sebuah akhbar tempatan bertajuk 'Giving the tourism sector a boost'.

fb najib razak

Satu laporan berita menyebut bahawa industri pelancongan negara ini menjana PNK sebanyak RM47.2 bilion tahun lepas dan merupakan penyumbang tukaran asing kedua terbesar selepas barangan pembuatan dan ketujuh terbesar kepada ekonomi negara.

Industri itu mencatat pertumbuhan luar biasa dan muncul sebagai sektor ekonomi paling pesat berkembang dengan meraih RM60.6 bilion resit pelancongan melalui ketibaan 25.03 pelancong pada 2012.

Sementara itu, melalui akaun Twitternya, perdana menteri mengucapkan syabas kepada dua jurufoto yang mewakili Malaysia pada Pameran World Press Photo (WPP) 2013.

Dua jurufoto bebas itu meletakkan nama Malaysia dalam Pameran WPP 2013 di samping 52 jurufoto lain dari seluruh dunia.

Foto mereka yang terpilih untuk diperagakan pada pameran itu memaparkan aksi lumba lembu bertajuk 'Joy at the End of the Run' yang dirakam Dr Chen Wei Seng di Sumatera, Indonesiam bagi kategori Aksi Sukan dan foto rakaman Stefen Chow bertajuk 'A Chinese Contemporary Artist Ai WeiWei' bagi kategori Potret Pementasan.

WPP, pameran pertandingan fotografi akhbar tahunan terbesar dan paling berprestij di dunia, dihoskan TNT Malaysia Express bersama kedutaan United Kingdom dan Belanda di sini.

Pameran ini memaparkan foto luar biasa yang dirakam jurufoto akhbar dari seluruh dunia.

Pameran yang diadakan di Bangsar Shopping Contre (BSC) di sini dibuka kepada orang ramai mulai semalam.