KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara yang dinamakan dalam tuntutan sivil oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd pada Jumaat lepas.

Portal The Edge Markets melaporkan, selain  Najib, turut dinamakan ialah anak tiri beliau Riza Shahriz Abd Aziz serta bekas pemegang jawatan utama lain dalam dua syarikat berkenaan iaitu Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Arul Kanda Kandasamy dan Mohd Hazem Abdul Rahman.

Turut dinamakan ialah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, ayahnya Tan Sri Larry Low Hock Peng, adiknya Low May Lin, serta rakan perniagaannya, Eric Tan Kim Loong..

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengesahkan sejumlah 22 tuntutan sivil telah diambil oleh 1MDB dan SRC International Sdn Bhd terhadap sembilan entiti, dan 25 individu berhubungan dana yang telah diselewengkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOF berkata, enam writ saman difailkan oleh 1MDB, manakala 16 lagi oleh SRC International.

“Kesemua tuntutan itu adalah untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion (AS$23 bilion), termasuk kira-kira RM300 juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.

“1MDB dan SRC International menyatakan bahawa entiti-entiti dan/atau individu-individu itu telah mendapatkan pengkayaan tidak wajar melalui penerimaan wang secara salah dari kedua-dua syarikat berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

MOF berkata, writ saman itu antara lain menyenaraikan beberapa dakwaan ke atas individu yang terbabit termasuk - penyalahgunaan kuasa, pelanggaran kewajipan fidusiari di jawatan awam, pecah amanah, konspirasi, bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan secara frod; penerimaan dengan pengetahuan, salahlaku dan penukaran salah.

Institusi kewangan asing dan individu bukan warga negara yang disenaraikan pula ialah Deutsche Bank (Malaysia) Ltd, Coutts & Co Ltd, JP Morgan (Switzerland) Ltd  serta PetroSaudi International Ltd dan pengasasnyaTarek Obaid.

Media difahamkan kesemua tuntutan sivil itu difailkan oleh empat firma berlainan, iaitu Rosli Dahlan Saravana Partnership, Skrine & Co, Lim Chee Wee Partnership, dan Shearne Delamore.

Kesemua tuntutan itu difailkan pada Jumaat lepas di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, dan Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan yang sama berkata: "Berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, usaha kerajaan kini difokuskan untuk membawa ke muka pengadilan pesalahlaku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan/atau SRC semasa pelaksanaan tugas mereka, sebagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan urus niaga 1MDB dan/ atau SRC.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam 1MDB dan/atau SRC,” katanya lagi.

MOF berkata, kesemua hasil dari usaha pemulangan aset 1MDB termasuk penyelesaian akan datang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Penyelesaian itu, menurut kementerian lagi, tidak menjejas atau mengkompromi tuntutan Malaysia terhadap pesalahlaku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB serta SRC dan mereka akan tetap dihadapkan ke muka pengadilan melalui sistem perundangan jenayah dan sivil.

Antara kejayaan mendapatkan kembali aset ialah RM10.5 bilion (AS$2.5 bilion) dari Goldman Sachs pada bulan Ogos 2020 dengan jaminan pemulangan aset selanjutnya sebanyak RM5.88 bilion (AS$1.4 bilion), serta RM2.83 bilion dari Ambank Group dan RM336 juta (AS$80 juta) dari Deloitte PLT.