Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Najib khianati kepercayaan awam, SRC International mahu RM42 juta dikembalikan - Peguam

Bernama 15/08/2025 | 07:51 MYT
Saman yang difailkan pada Mei 2022 itu mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah, menerima dana dengan pengetahuan, tort salah laku dan salah guna kuasa berhubung penyelewengan dana SRC International. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengkhianati kepercayaan awam dengan menyalahgunakan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, yang sepatutnya digunakan untuk menjamin masa depan tenaga dan manfaat pesara perkhidmatan awam di negara ini.


Ringkasan AI
  • SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, memfailkan saman sivil terhadap Najib atas dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta yang sepatutnya digunakan untuk masa depan tenaga dan pesara perkhidmatan awam.
  • Peguam plaintif menyatakan wang tersebut dipindahkan ke akaun peribadi Najib melalui arahan bertandatangan beliau, dengan RM32 juta digunakan untuk menampung kekurangan akaun dan RM10 juta dibelanjakan melalui cek peribadi.
  • Perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula dengan keterangan saksi pertama, bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia Ung Su Ling, dan akan bersambung pada 6 November; pihak plaintif berusaha membuktikan kes atas asas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur dan salah laku dalam jawatan awam.


Peguam Kwan Will Sen yang mewakili SRC International dan anak syarikat, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dalam saman sivil RM42 juta terhadap Najib, berkata bahawa sudah 10 tahun wang itu berada dalam akaun peribadi Najib dan kini, dua syarikat berkenaan mahu wang itu dikembalikan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes saman sivil yang difailkan oleh SRC International dan Gandingan Mentari pada Mei 2022 terhadap Najib yang merupakan satu-satunya defendan.

"Tiga mahkamah, iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, mendapati beliau (Najib) telah melakukan kesalahan jenayah atas perbuatan ini tanpa sebarang keraguan munasabah.

"Najib yang juga Menteri Kewangan pada masa itu mempunyai kawalan penuh terhadap SRC International. Beliau memegang jawatan penting termasuk Penasihat Emeritus. Oleh itu, tiada transaksi besar yang berlaku tanpa pengetahuan atau persetujuannya," katanya.

Kwan berkata keterangan akan membuktikan bahawa RM42 juta itu dipindahkan daripada SRC International dan akhirnya masuk ke dalam akaun bank peribadi Najib. Daripada jumlah ini, RM32 juta dipindahkan segera kepada dua syarikat yang sebelum ini menampung kekurangan dalam akaun Najib.

"Pemindahan ini dibuat berdasarkan surat arahan yang mengandungi tandatangan peribadi beliau (Najib). Baki RM10 juta lagi dibelanjakan melalui cek peribadi yang dikeluarkan Najib sendiri," katanya.

"Kami menyatakan bahawa jejak wang ini jelas, bukti dokumen ini sangat banyak dan pengakuan bersumpah Najib juga menunjukkan kesalahan. Kami akan membuktikan kes ini di bawah tiga asas tindakan yang saling melengkapi, iaitu penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur, dan salah laku dalam jawatan awam.

"Atas mana-mana asas ini, keadilan menuntut supaya dana awam ini dikembalikan kepada pemilik yang sah - rakyat Malaysia," katanya.

Mahkamah hari ini mendengar keterangan saksi pertama, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling, 57, yang pelantikannya diluluskan Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan bersambung pada 6 Nov ini.

Saman yang difailkan pada Mei 2022 itu mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah, menerima dana dengan pengetahuan, tort salah laku dan salah guna kuasa berhubung penyelewengan dana SRC International.

-- BERNAMA

#SRC International #Najib Razak #salah guna kuasa #saman sivil