Najib mohon maaf, terima pertuduhan sebagai dugaan dunia

Bernama
Julai 3, 2018 15:23 MYT
Sambil memohon maaf kepada rakyat Malaysia, bekas presiden UMNO itu berkata beliau akan menghadapi segala yang berlaku ke atasnya dengan tabah. - Gambar fail
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kenyataan bahawa penahanannya pada Selasa sebagai dugaan dunia.
Sambil memohon maaf kepada rakyat Malaysia, bekas presiden UMNO itu berkata beliau akan menghadapi segala yang berlaku ke atasnya dengan tabah.
"Saya terima bahawa hari ini adalah hari saya dan keluarga menjalani dugaan dunia. Saya tetap bersyukur kerana tidak semua yang berpeluang menjalani dugaan dunia.
"Kita semua tahu bahawa dugaan di akhirat adalah jauh lebih perit," katanya menerusi video yang dimuatnaik di Twitter dan Facebook beliau malam tadi.
Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengesahkan Najib telah ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang berhubung kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn. Bhd. , bekas anak syarikat 1MDB.
Najib akan dituduh pada pukul 8.30 pagi Rabu di Mahkamah Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Facebook #keluarga #Malaysia #Najib Razak #Perdana Menteri #rakyat Malaysia #SRC International #UMNO