SHAH ALAM: Laporan polis di seluruh negara akan dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Selasa ini kerana didakwa mempermainkan isu perkauman.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres PKR berkata, tindakan Ahli Parlimen Pekan itu 'meracun' rakyat dengan sentimen perkauman perlu dihentikan segera.

"Kita sama-sama membuat laporan kepada Najib di seluruh negara... tak boleh biar ikut suka dia main isu perkauman, ikut suka racun rakyat.

"Sudah sudah lah... Itu mesti bermula daripada kita (dan) laporan polis hari Selasa ini terhadap Najib di seluruh negara," katanya dalam ucapan tersebut, hari ini.

Najib penakut, sembang kecang sebab orang tak lawan - Rafizi

Terdahulu, Najib membidas Rafizi, yang menyalahkannya berhubung isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Sabah, sedangkan kesilapan paling besar didakwa dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menyifatkan kesilapan besar itu ialah tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menulis surat kepada waris Sultan Sulu untuk menyatakan rasa kesal dan menawarkan bayaran RM48,000 bagi menyelesaikan kes bayaran yang dihentikan kepada waris berkenaan waris berkenaan.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, akar umbi PKR juga tidak boleh berdiam diri melihat pembohongan yang dilakukan oleh Najib, selain melabel beliau sebagai 'penakut'.

"Dia (Najib) sembang kencang sebab orang tak lawan... dia rasa bebas sekarang. Bila kita mulakan dan pastikan setiap pembohongan dan propaganda dia kita akan lawan, Najib lepas ini akan jawab macam yang sama dia jawab di mahkamah, semua dia tak tahu saya rasa," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Rafizi turut menyeru agar berusaha menyanggah UMNO dan Najib yang disifatkan semakin bermaharajalela. 

"Kalau kita tak sanggah dia (Najib), dia akan terus rasa dia itu pembesar negara sebab itu bermula hari ini kita akan balik dan sanggah dia sehingga kita hantar dia terus ke penjara," tambahnya.

Selain itu, Rafizi juga memaklumkan beliau akan mengusulkan penubuhan koperasi keadilan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk didaftarkan secepat mungkin.