Najib perlu jalani hukuman walaupun proses rayuan belum selesai - Tun M

Hasimi Muhamad
November 2, 2021 09:15 MYT
Dr Mahathir mendakwa, selagi mahkamah belum memutuskan rayuan terhadap kes Najib, Perdana Menteri keenam itu dianggap bersalah. - Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berpendirian bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjalani hukuman yang diputuskan oleh mahkamah berhubung kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa selagi mahkamah belum memutuskan kes rayuan Najib, Perdana Menteri keenam itu dianggap bersalah.
Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.
"Mahkamah (Tinggi Kuala Lumpur) mendapati Perdana Menteri keenam bersalah. Itu keputusan mahkamah. Selagi ia tidak didapati tidak bersalah, ia bersalah.
"Ia patut jalan hukuman. Ada rakyat Malaysia yang belum pun didakwa (charge) telah dimasuk dalam tahanan, kenapa tidak orang yang sudah pun dihukum salah menjalani hukuman," katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.
BACA: Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International
BACA: Najib, UMNO peroleh kembali aset yang disita bernilai RM114 juta
Najib ketika ini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.
Membahas lagi, Dr Mahathir (PEJUANG-Langkawi) berkata rayuan yang dibuat terhadap kes tersebut telah memakan masa hampir setahun.
Bahkan, Ahli Parlimen Pekan itu katanya turut dibenarkan ke luar negara.
"Jika rayuan mendapati banduan tidak salah, bebaskan sahaja.
"Sudah hampir satu tahun rayuan dibuat. Tetapi belum ada keputusan dibuat. Dengan izin justice delayed is justice denied," ujar Dr Mahathir.
Sebelum ini, tiga hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasport untuk melawat anaknya di Singapura.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu, selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan berkenaan.
Ia membabitkan pindaan daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember depan.
Dalam masa yang sama, Dr Mahathir mempersoalkan apakah kerajaan serius untuk mendapat balik wang kerajaan yang telah diseleweng.
#Dewan Rakyat #Mahathir Mohamad #SRC International #bajet 2022